Malay Independent Press

March 30, 2008

Kenyataan Idris Jusoh terima ketentuan takdir tidak ikhlas

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:27 pm

Kenyataan Idris Jusoh terima ketentuan takdir tidak ikhlas
Posted on Tuesday, March 25 @ 16:59:01 MYT by SongkokPutih
Oleh kelantankini

KOTA BHARU: Tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh yang membiarkan penyokongnya bertindak kurang sopan terhadap istana membayangkan beliau masih menginginkan jawatan Menteri Besar negeri itu.

Ia sekaligus bercanggah dengan kenyataan awalnya yang berkata beliau reda jika tidak dilantik semula mengetuai kerajaan negeri Terengganu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sepatutnya Idris menasihati penyokongnya tidak bertindak negatif tetapi apa yang berlaku sekarang seolah-olah pemimpin itu masih mahukan jawatan nombor satu itu.

“Sekiranya beliau tidak berhasrat untuk memegang jawatan itu dan menerima ketentuan qada’ dan qadar Allah, sudah pasti Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu menasihati Adun BN lain menerima pelantikan Menteri Besar yang baru.

“Ini kerana nasihat seorang pemimpin akan diterima baik penyokong atau pengikutnya. Beliau boleh sebut saya nak berundur diri,” katanya di sini selepas menerima kunjungan Datuk Bandar Yin-gor Narathiwat, di JKR 10.

Beliau diminta mengulas tindakan 22 Adun BN memulau pelantikan Adun Kijal, Dato’ Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sejak dari dahulu lagi beliau sering menjelaskan pemimpin Umno tidak ikhlas membela nasib orang Melayu memandangkan kepentingan peribadi lebih diutamakan.

“Simbolik menghunus keris setiap kali Ketua Pemuda Umno berucap kononnya mahu menjaga ketuanan atau kesultanan Melayu sebenarnya tidak dipraktik lagi pemimpin Umno.

“Perkara hunus keris dah lama lusuh. Umno hanya tahu menghunus keris, orang dah keluarkan pistol… tak jadi apa, kalau kita keluarkan senjata, orang lain keluarkan penumbuk.

“Keadaan ini akan lebih merumitkan lagi sehingga masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan sampai bila-bila,” ujarnya.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyokong penuh kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung pelantikan menteri besar yang baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac lalu.

Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya berdiri teguh dengan kenyataan Presiden PAS itu yang menyatakan sokongan penuh dan menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu berhubung pelantikan menteri besar.

Presiden PAS dalam satu kenyataan media berkata beliau percaya keputusan MPPR itu mengambil kira dan menitikberatkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.

kelantankini.com

Advertisements

Peluang Mat Said menebus dosa dan menjadi hero rakyat

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:17 pm

Peluang Mat Said menebus dosa dan menjadi hero rakyat
Posted on Tuesday, March 25 @ 17:01:56 MYT by SongkokPutih
Oleh ning

“assalamualaikum..,

terpahatnya sejarah dibumi terengganu mengundang berbagai reaksi dan spekulasi.tumpuan sekarang ialah diterengganu kerana terengganu sejak tahun 1999 memperlihatkan berbagai bagai keistimewaannya.dan kini kemelut perlantikan MB menjadi isu terbesar dalam sejarah pemerintahan negeri terengganu.mat said menjadi pilihan tuanku untuk meneruskan tugas memanda menteri setelah matyeh selama memegang jawatan telah berperangai seperti beruk serta membangkitkan kemurkaan tuanku dalam banyak tindak tanduknya.gantinama I dan YOU ketika bercakap dengan tuanku dikhalayak ramai menunjukan matyeh dah lupa diri,lupa yang dia seorang melayu yang pula lahir dikampung yang penuh dengan adat sopan.

Begitulah matyeh yang lupa diri dan kemudianya berubah perangai menjadi beruk bilamana berkawan dengan spesis beruk khairy dan patrick badawi.akhirnya tuanku nekad untuk tidak menerima matyeh lagi sebagai memanda menterinya.maka bermulalah episod menurunkan matyeh ini.bila PRU diadakan tuanku sudahpun berkira untuk menyingkirkan matyeh.

akan tetapi keputusan PRU masih berpihak kepada matyeh.semua calon belaan matyeh menang PRU kecuali seorang yang bernama mat said.cuma mat said seorang sahaja sanggup melawan matyeh.jadi tuanku tiada pilihan lain selain memberi watikah perlantikan kepada mat said.itupun sesudah 2 minggu berlalunya PRU.satu tanda betapa tuanku telah menimbang baik buruknya perlantikan mat said ini.

mengimbau kembali sejarah mat said, ternyata pilihan tuanku ini bukanlah pilihan yang baik tetapi ianya menjadi terbaik kerana ketiadaan pilihan lain lagi.kesanggupan mat said melawan arus menjadi sandaran tuanku untuk memilihnya.namun mat said juga harus sedar tanggungjawab dan risiko yang diterimanya.tersilap langkah mat said akan kecewa.

olih itu mat said berhadapan cabaran terhebat dalam hidupnya untuk berubah.rakyat terengganu semua tahu bagaimana reaksi mat said ketika solat hajat berkaitan runtuhnya masjid bujal dulu.dia begitu takabur sekali menyatakan yang dirinya tidak terasa apa apa balasan dari solat hajat tersebut.begitu juga mat said adalah wakil rakyat yang terkenal dengan sikap biadabnya bila dia mengajak YB hj wahid endut

bertumbuk.dikawasannya mat said juga terkenal kerana menggunakan khidmat kaki pukul untuk mengugut penduduk setempat.selain itu mat said juga terkenal kerana membela “HANTU” malah kemenangannya di PRU dulu disumbangkan olih “HANTU BELAAN’nya.dosa terbesar mat said kepada rakyat terengganu khasnya dan malaysia amnya ialah sebahagian ‘HANTU’ nya ialah pendatang tanpa izin burma dan indonesia yang bersembunyi di sri bandi.mat said juga dikatakan menggunakan khidmat bomoh tokcai siam dalam usahanya.inilah ciri ciri yang yang ada pada mat said yang patut dirunsingkan olih rakyat terengganu.namun tuanku tiada pilihan lain lantaran keputusan tuanku patut disokong sambil mengharap mat said diberi hidayah petunjuk dari ALLAH untuk memikul tugas memanda menteri nanti.

jadi kepada mat said renungkanlah.barangkali inilah peluang anda menebus semua kesalahan kepada rakyat terengganu dan inilah juga peluang untuk menjadi pejuang rakyat.perubahan pada diri anda dituntut olih semua rakyat .ingat pada malam pengumuman perlantikan anda berbagai bagai lapuran rasuah anda telah dilapurkan olih media arus perdana malah tindakan mereka yang menentang perlantikan anda turut melampau bilamana kain rentang yang memaki sultan kelihatan jelas sehingga kedalam TV3 pada hari penyerahan watikah perlantikan anda.lagipun sultan juga berpandangan jauh bila baginda hanya menyerahkan watikah perlantikan sedangkan hari mengangkat sumpah masih belum ditetapkan.satu tanda sultan juga mahu anda berubah.
bukannya susah sangat nak berubah.tetapi anda perlu melakukan dan mengakui beberapa perkara sebagai permulaan.antaranya ialah;

mengakui bahawa kemenangan PRU anda tidak sah kerana penipuan dan meminta maaf daripada lawan anda serta rakyat.rasanya tidak sukar rakyat memaafkan anda kerana rakyat sudahpun terima tanpa belah bagi keputusan sultan melantik anda.

meminta maaf dari YB wahid endut atas keterlanjuran anda dulu serta meminta maaf dari tok guru kerana keceluparan anda.

mengakui kesilapan anda dan meminta maaf dari kesemua rakyat yang pernah menanggung kesusahan akibat perbuatan lampau anda.

dan mungkin beberapa perkara lagi yang bolih ditambah olih para pembaca sekelian.ingatlah inilah peluang anda dan sekiranya anda melepaskannya mungkin sudah tidak ada peluang lain lagi. ingatlah umur anda sekarang sudah melebihi 50 tahun, tak berapa tahun lagi hidup anda.gunalah peluang ini untuk menebus dosa anda dan menjadi hero rakyat.

ana melihat ada tanda tanda TKO ini turut dikunjungi olih ahli UMNO dan mungkin juga mat said.olih itu sekiranya ada ahli UMNO atau mat said sendiri membaca tulisan ana ini,pesanan ana harap dipertimbangkan.berpijaklah atas kebenaran dan kebenaran itu pula ialah kebenaran yang datang dari ALLAH. kita orang islam dan sebagai orang islam kita sentiasa menerima orang orang yang mahu mengaku kesilapan lampau dan kembali kepada ajaran ALLAH.”

Bila Zahid tangani hal ehwal Islam

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:13 pm

Bila Zahid tangani hal ehwal Islam

Subky Abdul Latif
Tue | Mar 25, 08 | 6:22:26 pm MYT

Untuk pertama kali sejak Tan Sri Yusuf Noor dalam tahun 80-an, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menangani hal ehwal agama Islam diserahkan kepada seorang yang bukan keluaran Universiti Azhar.

Dalam kabinet pertama selepas BN hilang majoriti dua pertiga dan hilang pula lima buah kerajaan negeri, Perdana Menteri Abdullah Badawi menggugurkan Dr. Abdullah Zain sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam.

Ketika menang besar dalam Pilihan Raya Umum 2004, secara mengejut juga Perdana Menteri menggugurkan Brigadier Jeneral (B) Abdul Hamid Zainal Abidin dari jabatan itu dan menggantikannya dengan Dr. Abdullah.

Dr. Abdullah pula digantikan oleh Datuk Zahid Hamidi yang tidak diketahui menuntut di mana-mana institusi pengajian tinggi Islam secara formal.

Tetapi Zahid ialah ahli politik yang pendidikan awalnya adalah sekolah menengah agama di Sekolah Izuddin Shah, Ipoh. Ia adalah sekolah menengah Islam yang pertama didirikan oleh kerajaan Perak selepas merdeka, malah sekolah menengah agama sepertinya di seluruh negara.

Dia tidak melanjutkan pelajaran di unversiti dalam jurusan Islam. Tetapi pengetahuan Islamnya adalah melalui zaman gemilang ABIM.

Ketika dia dijadikan menteri di situ, dia adalah tokoh politik yang berpotensi terdidik di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Najib. Dia dipercayai mewarisi kepimpinan kedua-dua tokoh politik itu.

Lebih Zahid dari menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri dulu ialah dia orang politik yang ada latar belakang pengetahuan agama yang mungkin setanding dengan Perdana Menteri sedang menteri-menteri itu adalah lulusan tinggi yang dicubakan politik ke atas mereka.

Justeru itu mereka menyesuaikan pengetahuan agama mereka dengan kemahuan politik orang politik, tetapi Zahid cuba membangunkan kepimpinan politiknya dengan pengetahuan dan pengalaman Islamnya. Maka lulusan agama yang dicubakan politik ke atas mereka seperti Tan Sri Yusuf Noor dan Tan Sri Abdul Hamid Othman lebih bersifat orang makan gaji dari orang politik.

Tetapi Zahid adalah orang politik yang ada kekuatan. Dia adalah ketua Pemuda Umno yang tidak pernah diturunkan oleh pergerakan itu tetapi digantikan oleh Hishamuddin Hussein atas kemahuan Dr. Mahathir. Tetapi dalam setiap kali pemilihan parti dia sentiasa mendapat undi tertinggi atau kedua tertinggi.

Nasib baiklah Zahid mempunyai pembantu iaitu Dato’ Dr. Masitah Ibrahim, tetapi orang pun tidak tahu apa manfaat yang Zahid boleh dapat dari pembantunya, Dr. Masitah yang kosong pengetahuan politiknya dan lembik pendirian Islamnya. Yang ada dia adalah jelita.

Mungkin pada Zahid, dia dapat jambangan bunga yang menghias tamannya. Dalam erti kata lain, Zahid akan membangunkan urusan hal ehwal agama Islam atas pengetahuannya sendiri.

Dalam suasana yang terbaru ini urusan agama di Jabatan Perdana Menteri itu seperti berada pada zaman Anwar Ibrahim mula-mula mnjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Menterinya ialah Perdana Menteri. Urusan jabatan itu ditangani oleh timbalan menteri.

Pada zaman ini menterinya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan semua urusan terserah kepadanya.

Oleh itu orang memberikan perhatian kepada Zahid bagaimana dia mengendalikan pentadbiran hal ehwal Islam itu. Pengalaman dalam pentadbiran di beberapa ejensi perniagaan dan jabatan kerajaan sebelum ini. Dan bagaimana kedaulatan Islam itu dapat dimartabatkannya melalui kemahiran dan kecekapannya berpolitik?

Di hadapan Zahid bukan sekadar soal kecekapan pentadbiran Urusan Tabung Haji, tetapi kedaulatan majlis fatwa kebangsaan, kewibawaan institusi mufti, mahkamah syariah, pentadbiran jabatan agama negeri-negeri, mentadbir masjid yang menjadi institusi perpaduan umat di peringkat akar umbi, memperkasakan sekolah agama rakyat dan sebagainya.

Semasa jabatan ini di bawah menteri-menteri lulusan pengajian tinggi yang rata-rata makan gaji, ia tidak menjadi jambatan untuk menyatukan perpaduan umat di semua peringkat. Sebaliknya ia menyuburkan amalan pilih kasih, menentukan jawatankuasa masjid terdiri dari penyokong kerajaan saja dan berbagai-bagai perkembangan yang menyebabkan umat Islam renggang sama sendiri.

Anak-anak orang PAS misalnya tidak boleh jadi imam di masjid-majid di Kedah. Ini menyebabkan mereka berhijah ke Kuala Lumpur dan ada yang menjadi imam di Wilayah Persekutuan. Semua ini tidak menyumbang kepada perpaduan ummah.

Zahid sekarang dengan jawatan barunya berada di tengah ulama, pimpinan Islam, orang-orang berpendidikan agama. Semua tahu bahawa umat Islam terhimpit sekarang. Maka sejauh mana kemahiran dan kekuatan politik Zahid yang diketahui lincah dan sememangnya dikenali dari dekat oleh para mufti boleh menangani isu umat Islam.

Bagaimana pula beliau dapat menangani kekeliruan isu Islam Hadhari? Adakah pada Perdana Menteri selepas ini terus bergantung pada nasihat Penasihat Agama Perdana Menteri tentang isu agama atau menunggu saranan politik agama dari Zahid tentang arah baru penyelesaian masalah ummah? – tajdid

Idris terus pertikai Sultan

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:11 pm

Idris terus pertikai Sultan

Abdul Halim Mohd Rashid
Tue | Mar 25, 08 | 5:34:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) – Sambil menyatakan beliau sekali lagi memohon keampunan daripada Sultan Terengganu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh terus mempertikaikan pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar yang baru dengan sokongan istana.

Ketika ditanya dalam sidang akhbarnya di sebuah hotel di Subang petang ini mengenai laporan bahawa 13 daripada 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang sebelum ini menyokongnya telah beralih menyokong Ahmad, Malaysiakini melaporkan Idris berkata setahunya, kesemua 22 Adun itu ada bersamanya semalam.

Ditanya berapa orang Adun yang hadir bersamanya dalam sidang akhbar tadi, Idris berkata:

“Sebahagian besar ada bersama saya dalam sidang media ini, kecuali seorang dua yang kembali ke Terengganu atas urusan keluarga.”

Sebelum sidang akhbar itu diadakan, Malaysiakini difahamkan mereka menghadiri majlis menyambut hari jadi Adun Besut di sebuah kelab di Subang.

Mengenai permohonan ampunnya itu, Idris tidak menerangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Sebuah akhbar harian pula melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu berkata, hubungan beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah baik dan beliau tidak tahu apa kesalahannya terhadap Sultan Terengganu itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, Ahmad yang memulakan tugas sebagai Menteri Besar yang baru hari ini, berkata beliau akan melantik barisan exco kerajaan negeri di kalangan 23 lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Sudah tentu (saya akan pilih mereka sebagai exco kerajaan negeri kerana), mereka telah dipilih oleh rakyat,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ditanya mengenai ketiadaan sokongan daripada semua wakil rakyat BN terhadapnya, Ahmad berkata beliau percaya sebahagian mereka menyokongnya.

Katanya wakil rakyat yang dipilih sebagai exco kerajaan negeri ini akan mengangkat sumpah pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Beliau juga menjelaskan bahawa barisan exco itu bakal menyaksikan perubahan besar dengan kemasukan muka-muka baru.

“Biasalah, bila keadaan baru, ada yang kekal, ada yang baru,” katanya.

Usaha gambarkan kerajaan Kedah tidak stabil bukan baru – Amiruddin

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:09 pm

Usaha gambarkan kerajaan Kedah tidak stabil bukan baru – Amiruddin

Intan Abdullah
Tue | Mar 25, 08 | 5:31:28 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) – Ada pihak cuba untuk melemahkan kerajaan Kedah di bawah teraju kepimpinan baru selepas berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-12 lalu.

Terbaru, laporan stesen televisyen TV3 24 Mac lalu mendakwa bahawa kerajaan Kedah terlepas projek bernilai RM500 juta yang sepatutnya diperolehi hasil usaha sama sebuah syarikat di luar negara dengan anak syarikat kerajaan negeri itu disebabkan oleh pertukaran kepimpinan kerajaan negeri tersebut.

Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ir Amiruddin Hamzah, perkara tersebut belum dibincangkan secara terperinci oleh pihak Kerajaan Negeri Kedah, serta tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa wujudnya hubungan dengan syarikat di Doha tersebut.

“Kesemua yang berlaku ini adalah bermotif untuk mendakwa kerajaan negeri yang baru ini berada dalam keadaan yang tidak stabil kerana bertukar tampuk pemerintahan,” ujar Ir Amiruddin Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perdagangan dan Industri, Sains dan Inovasi Negeri Kedah ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelasnya, pihak kerajaan negeri masih belum memperincikan malah belum mengusulkan kertas cadangan perlaksanaan projek tersebut kepada pihak yang akan menguruskannya.

“Hairannya, kenapa tiba-tiba sahaja laporan tersebut muncul di kaca televisyen sedangkan kami di pihak kerajaan negeri masih belum membincangkannya dan setakat ini tiada maklumat penuh mengenainya,” katanya.

Pada masa sama, Adun Anak Bukit itu menjelaskan bahawa projek tersebut telah ditawarkan kepada kerajaan Negeri Kedah untuk diusahakan.

“Kami baru sahaja hendak membincangkannya,” katanya lagi.

Walau apapun, beliau tidak menafikan wujudnya pihak yang sengaja membuat cerita-cerita yang bertujuan menggambarkan keadaan kerajaan negeri yang tidak stabil.

“Saya percaya banyak lagi ‘serangan’ dan perkara yang akan terjadi selepas ini.

“Kita tunggu dan lihat sahajalah, apapun kami akan terus berusaha memberi khidmat terbaik dengan mandat dan kepercayaan yang telah diberikan rakyat kepada kami,” ujarnya.

Sebelum ini, ujarnya kerajaan Kedah telah dituduh bertanggungjawab menghalau pelajar tadika Kemas sedangkan perkara tersebut tidak benar. – mns

Next Page »

Blog at WordPress.com.