Malay Independent Press

June 13, 2008

Hampir 2/3 gaji sebahagian rakyat dibelanja untuk petrol

Filed under: Uncategorized — Editor @ 9:13 pm
Hampir 2/3 gaji sebahagian rakyat dibelanja untuk petrol
Adnan Ibrahim
Fri | Jun 06, 08 | 2:08:53 pm MYT

Mampukah rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol? Gaya hidup apakah lagi yang perlu diubah oleh rakyat setelah dinasihatkan pemimpin kerajaan supaya berjimat cermat dengan kenaikan harga minyak dua tahun lalu dan kenaikan harga beras, tepung dan barang keperluan lain? <!–

–>

Rakyat sudah mengambil langkah berjimat dan kini sebahagian subsidi petroleum dikorbankan untuk kononnya membantu kerajaan membangunkan negara.

Soalnya, apakah pula pengorbanan pemimpin? Setelah rakyat disuruh merobah gaya hidup, para pemimpin terus hidup senang-lenang. Di mana slogan “Kepimpinan Melalui Teladan”?

Bersediakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet memotong elaun mereka sebagai timbal balas kerajaan menyuruh rakyat mengubah cara hidup. Terdapat cadangan yang disuarakan rakyat dihantar dan disiarkan stesen televisyen swasta minta 70 peratus elaun menteri dipotong. Apakah perasaan Abdullah?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad mengumumkan harga petrol mungkin mengikut pasaran global. Shahril melontar pandangan bahawa harga minyak tinggi kerana ia diapung mengikut pasaran semasa. Taktik yang sama juga digunakan bekas Menteri Keja Raya yang menjaga tol, Dato’ Seri S Samy Vellu.

Shahril juga membayangkan minyak akan naik pada Ogos ini. Tiba-tiba esoknya Abdullah umumkan kenaikan harga petrol kepada RM2.70. Mungkin itu juga mendorong rakyat menganggap kerajaan menipu dalam program isu semasa RTM1.

Dalam rancangan Hujah yang disiar televisyen swasta baru-baru ini, rakyat diingatkan agar tidak lagi bergantung kepada tongkat (subsidi). Maksudnya, subsidi minyak kena dihapus. Siapa mereka yang beriya-riya hendak menghapuskan subsidi bahan bakar? Mereka ini golongan berpendapatan RM10 ribu ke atas sebulan.

Berapakah harga minyak jika mengikut pasaran global? Contoh terdekat negara yang mengikut harga pasaran tersebut iaitu Singapura. Petrolnya berharga RM5.20 seliter dan diesel RM4.33. Bersediakah rakyat Malaysia membayar petrol RM5.20 seliter dan diesel RM4.33 mengikut harga apung di Singapura untuk menghidupkan kenderaan mereka? Kebiasaannya seliter minyak belum lagi mampu menghidup enjin kereta.

Jika selama ini rakyat Malaysia berbelanja RM10 sehari untuk petrol bagi berulang alik ke tempat kerja, sebaliknya harga pasaran global menyebabkan pengguna perlu menyediakan RM30. Sebulan RM900 bermakna ia telah menghapuskan sebahagian besar perbelanjaan sara hidup mereka.

Timbul pertanyaan, kenapa rakyat Singapura masih boleh hidup dengan harga minyak setinggi itu?

Jawapannya ialah pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah RM106,000 (AS$30,810) setahun berbanding rakyat Malaysia yang hanya RM21,500 (AS$6,244). Ianya lima kali ganda berbanding pendapatan per kapita rakyat Malaysia.

Purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol. Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk perbelanjaan mengurus rumahtangga.

Bagaimana dengan bayaran ansuran kereta terpakai mereka dan rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak. Matangkah kepimpinan kerajaan untuk membiarkan petrol dan diesel di bawah kawalan pasaran semasa yang hanya meletakkan bebanan kepada rakyat?

Bandingkan pula pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang berjumlah 40 juta, sementara Taiwan 21 juta. Pada era 1970-an rakyat kedua-dua negara ini lebih miskin berbanding rakyat Malaysia.

Tetapi pada hari ini pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000), sementara Taiwan pula AS$15,700 (RM52,300). Iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding rakyat Malaysia.

Kenapa kerajaan BN langsung tidak ada pertimbangan terhadap rakyat mereka? Rakyat ingin berteduh dan merasai nikmat kesenangan di bawah naungan pemimpin sebaliknya ditindas dan hidup dalam kesusahan.

Kerajaan tidak ada program berkesan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Pengangguran tidak dapat dibasmi. Tiba-tiba rakyat dibebankan lagi dengan harga minyak yang cukup tinggi. Seolah-olah rakyat Malaysia tinggal dalam negara bukan pengeluar minyak.

Kata para ulama: “Tidak sama orang kaya yang bercakap mengenai kemiskinan dihadapan orang miskin.”

Pemimpin datang bercakap soal kemiskinan kemudian pulang dengan kemewahan, sedangkan hadirin yang datang dengan kemiskinan pulang dengan kemiskinan.

Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali pernah menimbulkan masalah jurang pendapatan golongan kaya dengan orang miskin yang semakin melebar di bawah kekuasaan BN.

Pada masa Malaysia menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dua tahun lalu, pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sebaliknya mengarahkan harga petrol di negara itu dikurangkan sehingga lebih daripada 30 peratus; iaitu daripada 90 halala (90 sen) kepada 60 halala (60 sen) seliter.

“Bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan untuk kebaikan awam, kami mengarah harga seliter minyak petrol untuk pengguna diubah kepada 60 halala berbanding 90 halala,” kata Dikri Diraja.

Itulah nikmat rakyat Arab Saudi berada dalam negara pengeluar minyak tetapi apa yang rakyat Malaysia perolehi dan nikmati hasil petroleum negara?

Adilkah kerajaan kepada rakyat apabila tidak menjawab malah membisu berhubung pertanyaan ke mana pergi RM500 bilion duit keuntungan Petronas yang hilang?

Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kerana beliau bertanggungjawab kepada Petronas yang penyata kewangannya tidak perlu dibentangkan di Parlimen.

Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian ‘World’s Most Sustainable And Ethical Companies’.

Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu, Petronas mendapat markah 20.15% berbanding Shell 89.01%.- tajdid _

Sumber: HarakahDaily.net

Perbandingan: Kerajaan PAS Kelantan vs BN negeri lain

Filed under: Uncategorized — Editor @ 9:08 pm
Perbandingan: Kerajaan PAS Kelantan vs BN negeri lain
Azamin Amin
Tue | Sep 18, 07 | 4:58:30 am MYT

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Hrkh) – Dengan segala macam penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang rakyat berjumlah berbillion ringgit yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), rakyat negara ini disaran untuk membuat perbandingan dengan kerajaan PAS di Kelantan yang telah memerintah selama hampir 17 tahun. <!–

–>

Penindasan terhadap rakyat marhaen dan miskin termasuk golongan setinggan, menghimpit atau menganaktirikan kaum lain dalam isu-isu tertentu,pemborosan dan pembaziran wang rakyat demi pemimpin dan projek tertentu seperti terkandung dalam Laporan Audit negara, salah guna harta benda kerajaan dan skandal salah laku moral hampir tidak kedengaran sama sekali di negeri yang dikenali sebagai Serambi Mekah ini kerana ditadbir di bawah kepimpinan ulama seperti Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Image

Antara perbandingan dan asas untuk melihat kewibawaan PAS berbanding BN/Umno yang memerintah negeri lain ialah selaku Menteri Besar, Dato’ Nik Aziz telah pun menghapuskan peruntukan Menteri Besar untuk Juadah Hari Raya sebanyak RM 30,000 dan Juadah Berbuka Puasa sebanyak RM 15,000.

Nik Aziz juga turut memotong elaun sewa rumah sebanyak RM 3,000 sebulan dan menghapuskan elaun keraian Timbalan Menteri Besarnya sejumlah RM 18,000 setahun

Selain itu, beliau turut memotong bonus / elaun Menteri Besar sebanyak 45 peratus yang dibahagikan 40 peratus kepada parti dan 5 peratus kepada Perbendaharaan Negeri manakala wakil rakyat PAS sebanyak RM 500.00 kepada PAS.

Dua pelaksanaan PAS Kelantan yang dilihat menjadi contoh kerajaan pusat ialah memanjangkan cuti bersalin dari 40 kepada 60 hari manakala hari bekerja hanya lima (5) hari seminggu.

Ramai yang tidak tahu, bagi menangani masalah supaya tidak berlaku pembaziran wang kerajaan negeri, sungguhpun kecil namun Nik Aziz turut mengarahkan supaya menggantikan air mineral yang dibeli dengan air masak untuk dihidangkan sewaktu mesyuarat di pejabat Kerajaan Negeri bagi langkah berjimat cermat.

Malah beliau turut menghapus amalan pemberian cenderamata kepada beliau serta Exco Kerajaan Negeri semasa lawatan rasmi atau tidak rasmi mahupun sewaktu perasmian majlis tertentu.

Tahun ini, juga Program Kebajikan Pelan Takaful Kifaalah (Warga Emas) yang dilancarkan oleh kerajaan negeri Kelantan telah memberi faedah dan manfaat kepada semua rakyat negeri itu tanpa mengira bangsa, agama dengan pegangangan parti politik.

Menurut Buletin Urusetia Penerangan Negeri Kelantan bulan Jun, sejak dilancarkan pada 7 Februari 2007, jumlah pendaftaran telah pun mencecah 83,091 orang atau 60 peratus daripada 139,000 warga emas seluruh Kelantan dan setakat ini 370 wasi (pewaris) kepada warga emas yang telah meninggal dunia mendapat pampasan masing-masing sebanyak RM2,000.00.

Malah, sebelum itu mereka semua telah pun menerima sumbangan RM500.00 bagi tujuan pengurusan jenazah pada hari kematian dan menjadikan keseluruhan faedah yang diterima sebanyak RM2,500.00

Seribu satu senarai boleh dikepilkan tetapi adalah lebih baik rakyat mahupun penduduk di negeri lain, sekiranya punya kelapangan datang menziarahi negeri Kelantan yang diperintah PAS ini bagi menyaksikan sendiri perkembangan dari sudut rohani dan jasmani, termasuk pembangunan fiskal yang berjaya dibentuk dan dijana oleh PAS, menangkis tohmah dan fitnah media arus perdana dan pemimpin Umno selama ini.

Berikut adalah antara senarai lain Program Pembangunan dan Kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan oleh PAS di Kelantan:

1. Mendedahkan program Bina Insan kepada pegawai, kakitangan kerajaan.

2. Menganjur tamrin kepada guru-guru dan pelajar YIK.

3. Memberi kursus kesedaran Islam kepada wanita, belia dan kepimpinan masyarakat

4. Pemimpin bertadarus bersama rakyat dalam bulan Ramadhan.

5. Pegawai memberi tazkirah.

6. Melaksanakan projek Desa Takwa.

7. Menjemput orang bukan Islam kedalam majlis-majlis rasmi.

8. Menggalakan orang bukan Islam menghadiri program kebesaran Islam dan ceramah PAS

9. Kempen kesedaran menutup aurat di peringkat parti dan kerajaan. Kakitangan wanita diwajibkan pakaian menutup aurat. (Dipetik daripada susunan Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Strategik Kerajaan Negeri Kelantan)

Seperti kata-kata iklan di kaca Tv…mengapa? Tak percaya ya? Maka lebih baik hadir, lihat dan dapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat kesimpulan yang salah tentang PAS muktakhir ini._

Kenapa tidak potong 50 peratus elaun menteri?

Filed under: Uncategorized — Editor @ 9:05 pm
Kenapa tidak potong 50 peratus elaun menteri?
Azamin Amin
Tue | Jun 10, 08 | 12:30:44 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) – Penasihat DAP Lim Kit Siang merasa hairan dan sangsi dengan tindakan kerajaan yang memotong 10 peratus elaun keraian menteri dan timbalan menteri kabinet yang diumumkan oleh Perdana Mneteri Dato’ Seri Abdullah Badawi semalam. <!–

–>

“Kerajaan boleh menaikkan harga minyak daripada 41 sehingga 63 peratus tetapi hanya potong 10 peratus elauan keraian, kenapa tidak 50 peratus?

“Bagaimana dengan elaun-elaun lain termasuk tip elaun yang melibatkan ratusan ringgit setiap hari yang mana menteri dan timbalan menteri memperolehinya?,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut laporan elaun keraian bulanan ketika ini bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).

Kit Siang menyatakan sepatutnya sejak dari awal lagi elaun menteri kabinet dan timbalan menteri didedahkan kepada umumkan bukan sahaja sebagai tanda serta contoh kepimpinan dalam soal ketelusan dan atas dasar bertanggungjawab dan menunjukkan ianya kerajaan berwibawa sebaliknya untuk membuktikan mereka juga turut merasai keprihatin yang dialami oleh rakyat disebabkan ketidakwajaran kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini.

Katanya lagi kenyataan Abdullah itu dilihat bukanlah ‘ yang pertama dan terakhir ‘ kerana pelbagai pengumuman yang bakal dibuat kerajaan bagi ‘memujuk’ setelah rakyat merasa marah dan ‘memberontak’ akibat kenaikan harga minyak ini.

“Kemarahan rakyat adalah disebabkan kelemahan kerajaan yang tidak bersedia menghentikan pembaziran wang rakyat serta tidak bertanggunjawab termasuk yang melibatkan skandal mega berbillion ringgit oleh Petronas, bail out RM4.6 billion dalam kes Port Klang Free Zone (PKFZ)

“Malah rakyat kecewa dan marah kerana kabinet tidak belajar daripada ‘tsunami politik 8 Mac’ lalu untuk menjadikannya kerajaan yang lebih prihatin, adil dan pentadbiran yang mesra rakyat.,” katanya.

Sumber: HarakahDaily.net

Blog at WordPress.com.