Malay Independent Press

April 26, 2008

Surat Cinta Untuk Awek-awekku.

Filed under: Political Issues — Editor @ 10:30 am

Surat Cinta Untuk Awek-awekku.
Posted on Thursday, April 24 @ 14:11:31 MYT by greenboc
Oleh AdukaTaruna


Dengan Nama ALLAH Yang Pengasih Lagi Penyayang.

Awek-awekku. Pertamanya tahniah kerana anda semua mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab mengundi demi negara di PRU12 lepas. Kesedaran anda ternyata melebihi para lelaki yang mengambil enteng terhadapnya. Ketika para lelaki sibuk dengan dunianya yang entah di mana, anda terus maju ke hadapan menguasi pelbagai sector. Dari pelajar universiti sehinggalah ke tenaga industri. Syabas. Kekanda amat berbangga terhadap semua adinda-adinda.

Awek-awekku. Sungguh majoriti daripada kalian mengundi Barisan Nasional, tetapi kekanda amat menghormati tindakan itu. Profesional. Ianya tidak akan meluntur cinta kekanda kepada kalian semua. Namun, tujuan surat ini adalah untuk membawa kalian kepada satu persoalan. Ah, cuma sekadar perbahasan sahaja. Guaru senda antara kita.

Rahsia.

Awek-awekku. Ingatkah kalian ketika Barisan Nasional menerima kejutan besar selepas tarikh 8 Mac lepas? Pelbagai rahsia mula dibongkar. Pemecatan Tun Saleh Abas antaranya. Kekanda tahu, adinda-adinda semua amat meminati bidang-bidang rahsia ini, atau yang lebih tepat skandal-skandal atau gossip-gosip. Cuma, persoalan yang mahu kekanda bawakan ialah, dapatkah gossip-gosip itu ditimbulkan mereka sendiri sekiranya Barisan Nasional tetap menang besar seperti biasa?

Dan secara terus terangnya, kekanda mengajukan cadangan kepada adinda-adinda semua, sekiranya adinda mahu membongkar segala rahsia, segala skandal, artis-menteri, mati berzina di Sabah, Norita, Memali, Tun Saleh Abas, Black 14, Tan Sri Yahya, pembunuhan-pembunuhan, Altantuya,.. ah letih jari kekanda. Sekiranya adinda-adinda mahu membongkarnya, adinda-adinda perlu bersama-sama kekanda menukar tampuk pemerintahan negara.

Sekadar cadangan sahajalah.

: )

Minyak dan elektrik.

Awek-awekku. Tidak lama selepas itu, Barisan Nasional mengumumkan tidak menaikkan harga petrol dan mengekalkan tariff elektrik. Persoalannya, adakah kebaikan ini akan dinikmati adinda-adinda sekiranya Barisan Nasional menang besar seperti biasa? Lihatlah ibu-ibu kita, lihatlah ayah-ayah kita. Berhempas pulas menyara kita, menghantar ke universiti, ada yang kehilangan nyawa, terbakar rumahnya akibat elektrik dipotong dan menggunakan lilin. Lihatlah madu-madumu yang berada di sector industri. Bergelut dengan kos hidup. Perbelanjaan perlu di hantar ke kampong-kampung.

Adakah penderitaan ini akan didengar oleh Barisan Nasional sekiranya mereka tetap menang besar dengan angkuh melalui undi-undi adinda semua? Sekadar persoalan dari kekanda semata.

: )

Internet.

Awek-awekku. Semua maklum adindalah antara pengguna internet yang tertinggi. Myspace, friendster, blog adalah antara yang kalian kuasai. Tetapi, walaupun dihina dan dicacai dengan beruk, atau wanita menganggur oleh para menteri terhadap para blogger, adinda semua tetap taat dan setia mengundi Barisan Nasional. Kesetiaan adinda semua amat mengharukan.

Selepas Barisan Nasional dikejutkan, maka, apa yang terjadi? Mereka mengiktiraf dan berbaik-baik dengan golongan internet. Menjemput para blogger di satu program TV. Menteri mereka sama ada kalah atau menang tipis mula menjadi blogger. Menelan kembali ludahan mereka.

Persoalan dari kekanda, adakah semua ini akan berlaku sekiranya Barisan Nasional menang besar seperti biasa, sebagaimana yang diharapkan oleh undi-undi adinda semua? Sudah tentu mereka akan lebih angkuh dan menghina para pengguna internet. Di mana adinda semua adalah kumpulan terbesar.

Kuasa Wanita.

Awek-awekku. Semua tahu bahawa wanita adalah pengundi setia Barisan Nasional, terutama wanita Melayu. Tetapi, adakah adinda dibayar atau dibalas dengan setimpal atas segala kesetiaan adinda semua? Adinda lihatlah, adakah adinda dibayar atau diekploitasi?

Selepas PRU12, adinda semua cuba menoleh kepada parti pengimbang ini. Berapa ramai exco wanita yang berada dalam negeri Barisan Rakyat berbanding Barisan National sebelum ini? Siapa Ketua Pembangkang? Tidakkah adinda menyedari, adinda semua mempunyai wakil sebaya adinda di parlimen. Nurul Izzah sebagai suara sudut kedua bagi pihak adinda semua.

Persoalan dari kekanda, adakah semua ini terjadi sekiranya Barisan Nasional tetap menang dengan angkuh seperti yang diharapkan oleh undi-undi adinda semua?

: )

Kehakiman.

Awek-awekku. Institusi kehakiman adalah satu institusi penting dalam negara. Bukan sahaja hak-hak adinda semua, malah hak-hak setiap yang bernyawa ini bergantung kepada institusi ini. Jika institusi ini dapat dijual beli oleh para mafia seperti kes Linggam, bila-bila masa hak adinda semua akan teraniaya. Memanglah apa yang berlaku bukan diri kita, tetapi, jangan sampai sudah terkena batang hidung baru tergadah.

Lihatlah bagaimana kes rogol bawah umur oleh Menteri Kanan dahulu. Jika DSAI pun boleh diputar belitkan, inikan pula wanita biasa seperti adinda semua.

Sekarang, institusi ini sedang diperbaiki. Sama ada kosmetik ataupun betul-betul, kita ketepikan dahulu. Cuma persoalan dari kekanda ini buat adinda semua. Adakah semua ini terjadi sekiranya Barisan Nasional menang besar dengan angkuh seperti yang diharapkan oleh undi-undi adinda semua?

: )

Siaran Langsung.

Awek-awekku. Selama adinda semua bersama kaum ibu setia memilih Barisan Nasional, adakah kalian semua diberikan hak menonton secara langsung apa yang kalian pilih? Kalian telah memilih Abu untuk mewakili kalian di parlimen, tetapi selama kalian pilih Abu, Abu tidak mahu kalian melihatnya secara langsung. Sedangkan kalian yang pilih. Selama 50 tahun begitu. Kalian tetap setia memilih. Abu tetap tidak mahu kalian melihatnya. Hairan kekanda.

Kini, walaupun secara permulaan 30 minit, adakah semua ini terjadi sekiranya Barisan Nasional menang angkuh seperti biasa seperti yang diharapkan oleh undi-undi adinda semua? : )

Riba PTPTN.

Awek-awekku. Dahulu nenek-moyang kita bermandikan darah memperjuangkan hak kita. Antara hak yang dapat ketika merdeka, di mana semua bangsa bersetuju ialah hak biasiswa. Dulu hasil negara nenas, getah, dan biji timah. Miskin. Tetapi tetap ada biasiswa. Sebab itu hak kita. Orang lain tidak boleh pertikai.

Tetapi kini, PTPTN. Biasiswa mengecil. Sedangkan itu hak setiap anak Melayu yang melangkah ke menara gading. Melalui undi-undi para adinda bersama kaum-kaum ibulah semua ini berlaku. Namun adinda semua tetap setia.

Terbaru caj riba PTPTN akan dikaji semua. Adakah semua ini akan terjadi sekiranya Barisan Nasional menang angkuh seperti yang diharapkan melalui undi-undi adinda semua?

: )

Berfikirlah wahai cintaku.

Awek-awekku. Kekanda hanyalah membangkitkan persoalan semata. Adinda semualah yang berfikir demi masa depan anak cucu. Keadaan semakin perit. Adakah kesetiaan adinda semua dibayar atau hanya diekploitasi?

Fikir-fikirkanlah.

Cintamu,

AdukaTaruna.

: )

Royalti Minyak 20 Peratus: Hak Sabah yang telah lama dinafikan

Filed under: Current Issues — Editor @ 10:27 am

Royalti Minyak 20 Peratus: Hak Sabah yang telah lama dinafikan
Posted on Thursday, April 24 @ 14:24:32 MYT by greenboc
Oleh lambunau


Membaca kenyataan ini bagi anak-anak Sabah, Sarawak, dan Terengganu yang telah lama memperjuangkan tuntutan menaikkan royalti minyak, sudah pasti berasa sedikit gembira kalaupun tidak sangat gembira. Berita yang sudah lama dinanti-nantikan ini pastinya suatu perkhabaran yang indah untuk menjadi halwa telinga mereka yang telah lama merasa tertindas di tanahair sendiri.

“Anwar memberitahu, antara agenda pakatan pembangkang yang akan dijelaskan ialah mengenai royalti minyak yang perlu dinaikkan kepada 20 peratus bagi Sabah, Sarawak dan Terengganu memandangkan semua negeri tersebut kebetulan merupakan negeri termiskin.”

Jika hendak mengharapkan kerajaan sekarang ini, bolehlah dikata bagaikan bermimpi di siang hari, 5% pun kalau boleh ada yang hendak cilok. Adalah sangat tidak patut Negeri Sabah dan Terengganu yang kaya dengan hasil minyak jadi negeri termiskin di Malaysia..

Kami tidak mengharap untuk jadi negeri terkaya tetapi memadailah sekiranya rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan di tempat sendiri dengan gaji yang mampu untuk menyara diri dan keluarga. Tidak perlulah anak-anak Sabah berhijrah beramai-ramai ke Semenanjung seperti yang berlaku pada hari ini demi untuk mencari peluang rezeki yang lebih baik tetapi belum tentu terjamin (apakah jaminan bagi majoriti anak Sabah yang berkerja di kilang?). Kehidupan anak-anak Sabah sekadar untuk hidup sahaja kerana walaupun pendapatan lebih lumayan sekiranya bekerja di semenanjung, wang yang dikumpul bertahun apabila dibawa balik ke Sabah paling lama pun akan bertahan hanya sebulan sahaja. Dengan kos tambang pergi balik sahaja menyamai gaji 2,3 bulan yang diperolehi di semenanjung bagi yang telah berkeluarga. Bukankah perkara ini boleh menjejaskan hubungan dalam institusi kekeluargaan yang dilaung-laungkan oleh kerajaan. Memadaikah bagi orang tua di kampung berhubung dengan anak-anak yang jauh di mata dengan hanya menggunakan telefon? Itu pun sekiranya di kampung tersebut ada talian telefon, bagaimana pula mereka yang jauh di pedalaman, jangankan telefon, jalanraya perhubungan untuk ke pekan terdekat pun susah sangat! Payah betul bah mau pigi pakan (pergi pekan)!!

Bagi mereka yang pernah ke Sabah pastinya tahu bagaimanakah keadaannya di sana, betapa jauhnya Sabah tertinggal dari arus pembangunan yang deras memacu ekonomi di semenanjung, dan pastinya anda bersetuju dengan apa yang saya perkatakan ini. Tidak perlu jauh meneroka ke pedalaman, di pinggir bandaraya pun tidak semua tempat memiliki jaringan perhubungan jalanraya yang baik, tidak jauh bezanya dengan keadaan di pedalaman.

Simpati juga saya hulurkan kepada rakyat Terengganu yang mengalami nasib sama tak serupa dengan rakyat Sabah. Sudahlah royalti hanya lima peratus, itu pun hendak dinafikan oleh kerajaan Persekutuan dengan pembayaran wang ehsan kononnya. Saya tidak tahu, siapa yang lebih malang antara Sabah dan Terengganu, tetapi yang pastinya kedua-dua negeri ini memang malang kerana mempunyai hasil bumi yang kurang dinikmati oleh anak-anak negerinya. Perkara ini boleh diumpamakan seperti ‘itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelaparan’.

Tuntutan untuk menaikkan royalti minyak ini bukanlah sesuatu yang baru bagi parti-parti politik Sabah. Inilah yang menjadi modal setiap kali pilihanraya tetapi malangnya tidak pernah mendapat jawapan yang menggembirakan dari pihak kerajaan persekutuan.

Dahulu kita dikejutkan dengan berita penahanan Datuk Dr Jeffrey Kitingan di bawah ISA atas tuduhan hendak membawa Sabah keluar dari Malaysia. Kenapa timbul soal begitu sekiranya Sabah hidup aman makmur di dalam Malaysia. Rakyat mana yang akan berpuas hati sekiranya terasa negeri mereka dijajah, apa bezanya di bawah penjajahan British dahulu, hasil bumi dibawa balik ke England walaupun British mendakwa akan memajukan tanah jajahannya, bandingkan dengan situasi yang berlaku sekarang. Kemanakah perginya hasil bumi Sabah yang kaya itu? Saya tidak sanggup pula andainya wujud Gerakan Sabah Merdeka seperti Gerakan Acheh Merdeka kerana tindakan sebegitu bukanlah jalan penyelesaian yang baik untuk rakyat. Tetapi siapakah dapat menghalang andainya kesedaran membela tanahair semakin membara di jiwa kami anak-anak Sabah andainya jalan diplomatik tertutup rapat pintunya.

Apa-apa pun bagi saya Anak Sabah Anak Malaysia, maju mundur biarlah bersama. Tiadalah namanya Malaysia andai tiada penyertaan Sabah dan Sarawak.

Kes Altantuya: Bapa Altantuya: Saya datang demi kemanusiaan/Hubungan diplomatik Mongolia-Malaysia mungkin putus

Filed under: Current Issues — Editor @ 10:21 am

Membaca kenyataan Bapa Atlantuya membuat hati tersentuh.betapa deritanya seorang bapa yang ingin melihat keadilan diberi kepada satu-satunya anak kesayangan yang ada.satu-satunya zuriat yang sepatutnya dapat meneruskan generasi seterusnya ditamatkan begitu sahaja riwayatnya oleh binatang bertopengkan manusia,manusia durjana yang tiada berhati perut.satu-satunya badan yang sepatutnya memberi keadilan dan hak seorang manusia yang teraniaya seolah cuba menafikan keadilan yang diamanahkan…nada suara bapa Atlantuya ialah nada seorang yang telah putus harapan.seorang yang hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman kita.satu masa dulu seorang gadis bawah umur telah dinafikan haknya sebagai mangsa kerakusan haiwan bertopengkan manusia…seketika pula mantan TPM telah dinafikan keadilan oleh badan yang sama…sehingga kini pun masih ramai rakyat negara Malaysia telah “menikmati” dan mendapat faedah oleh sebuah badan keadilan ala-ala filem hindustan…dan hari ini pula kita melihat bagaimana “tetamu” kita “dilayan” oleh sebuah badan yang sama…keadilan “hutan rimba” dokongan haiwan durjana bertopengkan manusia…satu masa dahulu hanya rakyat Malaysia yang teraniaya dan hari ini kita melihat “sistem keadilan hutan rimba” telah diperluaskan pelaksanaannya melangkaui sempadan negara…inilah Malaysiaku…Malaysia Boleh…aku runsing andai satu hari tanah tumpah darah kesayanganku akan dikenali sebagai negara maju dengan sistem hutan rimba…sebuah negara Islam yang mengamalkan undang-undang rimba…inikah yang diajarkan didalam Islam?ah…aku lupa…aku lupa pada ISLAM HADHARI…………

berjuang,berjuang,berjuang dan terus berjuang!!!

Bapa Altantuya: Saya datang demi kemanusiaan

Muda Mohd Noor | Apr 24, 08 7:45pm

Bapa Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh kejam Oktober 2006 berkata, beliau datang ke negara ini bukan kerana wang tetapi menuntut rasa kemanusiaan seluruh warga Malaysia.

“Kenapa anda semua takut untuk mengambil tindakan kemanusiaan untuk (membantu) anaknya (Altantuya) yang paling kecil? Apakah anda tidak tahu malu?

“Saya ke mari bukan untuk wang, saya hanya mahu pertolongan kemanusiaan. Di manakah tanggungjawab kemanusiaan anda semua? Saya mahu tanya semua ini,” kata Shaariibu Setev dengan nada tertekan.

Beliau yang kelihatan marah kemudian menepuk meja dan berkata “sudahlah” dalam bahasa Mongolia. Beliau segera meninggalkan sidang media tersebut.

Ucapannya diterjemahkan oleh Munkhsaruul Mijiddorj (foto atas: kiri), seorang peguam bersama Pusat Kebangsaan Menentang Keganasan (NCAV), sebuah badan bukan kerajaan di Mongolia.

Hadir sama di sidang media itu, presiden PKR Dr Wan Azizah Ismail dan beberapa pemimpin kanan parti itu termasuk timbalannya Dr Syed Husin Ali dan naib presiden R Sivarasa.

Sebelum itu, Setev mempertikaikan media Malaysia yang didakwanya tidak cuba menyiasat lebih mendalam kemusykilan yang timbul berhubung kes anaknya itu.

“Apakah anda tahu bahawa bahan letupan yang digunakan oleh pegawai-pegawai polis ini datangnya daripada tentera? Ia bukannya sebilah pisau. Bahan letupan ini seharusnya digunakan untuk negara lain (musuh) tetapi sebaliknya ia digunakan terhadap anak saya.

“Anda boleh lihat sekarang jenis manusia berbahaya yang bertugas di peringkat tinggi, khususnya pegawai polis,” kata Setev dalam satu sidang media di pejabat penasihat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya. Dua anggota polis unit khas cif inspektor Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar dituduh melakukan pembunuhan di sebuah kawasan terpencil dekat Shah Alam.

Kedua-duanya bertugas di unit tindakan khas (UTK), pasukan berprofil tinggi, antaranya menjaga keselamatan pemimpin utama negara termasuk perdana menteri dan timbalannya.

Ketiga-tiga mereka menghadapi hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah.

Setev berkata, surat perdana menteri Mongolia yang dihantar kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhir tahun lalu tidak mendapat respons.

Beliau ternyata marah dengan kegagalan perdana menteri Malaysia memberi jawapan kepada surat tersebut.

“Surat terakhir daripada kerajaan Mongolia kepada Abdullah (menyebut), jika Malaysia membuat penghakiman secara tidak adil, tidak bertanggungjawab dalam kes ini, kerajaan kami akan memutuskan hubungannya dengan Malaysia.

“Isu ini bukan hal peribadi (keluarga saya) tetapi isu antara dua negara. Bolehkah anda bayangkan bagaimana kes ini akan menentukan keadaan ekonomi Malaysia?” katanya.

Kes Altantuya: Hubungan diplomatik Mongolia-Malaysia mungkin putus

Cetak

E-mail

Oleh Amin Iskandar

Khamis, 24 April 2008

JIKA kes pembunuhan Altantuya tidak diberikan perbicaraan yang adil, pemerintah Mongolia akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Itulah diantara maklumat baru yang diberi oleh bapa kepada Altantuya Shaariibuu dalam sidang akhbarnya bersama dengan Ketua Pembangkang, Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama dengan beberapa ahli parlimen PKR siang tadi.

Dr. Shaariibuu Setev yang ditemani oleh peguam yang juga penterjemahnya, Munkhsaruul Mijiddorj memaklumkan bahawa Perdana Menteri Mongolia telah memberitahu Abdullah Badawi tahun lalu mengenai perkara ini.

Apakah rakyat Malaysia hanya mahu mendiamkan diri melihat dunia membenci Malaysia hanya kerana tindakan segelintir orang?

Sedangkan 26 juta rakyat Malaysia tidak bersalah kepada Altantuya dan beribu-ribu lagi rakyat asing yang ditindas di Malaysia.

Apakah Najib sesuai untuk menjadi PM Malaysia yang keenam? Belumpun jadi lagi, Malaysia dah hampir hilang hubungan dengan satu negara. Renungkanlah.

“Jumlahnya cukup untuk perintah Malaysia” Anwar

Filed under: Political Issues — Editor @ 10:20 am

“Jumlahnya cukup untuk perintah Malaysia” Anwar

Cetak

E-mail

Oleh Harakahdaily

Jumaat, 25 April 2008

PENAMPANG: “Apabila ahli Parlimen Sabah menarik diri dari Barisan Nasional (BN) pada malam ini, esok juga BN akan tumbang dan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi akan jadi Ketua Pembangkang!”, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di sini semalam.

Ujar Anwar, BN tidak lagi kuat, malah turut kalah di Semenanjung dan mereka hanya dapat bertahan buat sementara waktu kerana sokongan dari ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

“Kita sudah kira jumlah itu (ahli Parlimen) dan jumlahnya cukup untuk kita memerintah Malaysia. Biar orang Sabah menentukan siapa pemimpin yang mereka pilih berdasarkan kuasa yang mereka ada,” ujarnya.

Tambah Anwar, kawan-kawan saya di ahli Parlimen Sabah telah menyatakan persetujuan untuk memasuki Pakatan Rakyat (PR) dan meninggalkan BN.

“Bila mereka (ahli Parlimen Sabah) umumkan, itu sedang kita bincangkan mengikut strategi yang terbaik dan mereka harus berfikir secara bijaksana demi kepentingan masyarakat Sabah kita tidah harus terburu-buru”, katanya.

“Mereka harus fikir secara bijaksana demi kepentingan rakyat Sabah”, katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menafikan bahawa beliau kononya membeli ahli Parlimen Sabah malah menegaskan penyertaan mereka dalam Pakatan Rakyat bukan kerana wang.

Sebaliknya hanya untuk menjaga kedaulatan rakyat Sabah dengan menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh, katanya.

Tambahnya, barisan Pakatan Rakyat tidak akan mengikut budaya barisan nasional yang sering membazirkan wang rakyat untuk mendapatkan sokongan parti.

Penasihat KeADILan itu juga berkata, Sabah adalah negeri yang kaya dengan hasil bumi dan cukup untuk diagih kepada rakyat negeri itu.

Namun disebabkan oleh pemimpinnya tamak haloba, nafsu serakah mereka bolot kekayaan itu dan rakyat Sabah menjadi mangsa, ujarnya.

“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menerima perubahan dengan menyokong Pakatan Rakyat,” katanya.

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) = Wilayah Pembangunan Singapura?

Filed under: Current Issues — Editor @ 10:16 am

Artikel yang di copy & paste….. demi Negara tercinta…..renung2kan .

Pandangan ini tak keluar dlm media utama….

Saya terjumpa satu artikel di dalam Forbes mengenai kerjasama antara pemimpin Malaysia dan Singapura untuk mewujudkan kerjasama bagi menguruskan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Dalam pertemuan tersebut kedua-dua pemimpin negara ini telah bersetuju untuk menubuhkan Joint Ministerial Committee untuk memantau kerjasama ekonomi di WPI yang dihubungkan melalui Selat Tebrau. Kedua belah pihak telah bersetuju untuk memperkenalkan kad pintar untuk memudahkan aliran trafik dua hala antara Singapura-Malaysia.

WPI adalah pembangunan di selatan Johor seluas 850 batu persegi yang seluas 3 kali ganda Singapura. WPI menjadi satu peluang pelaburan yang pasti direbut oleh rakyat Singapura kerana nilai tanah yang murah lebih kurang 1/30 dari nilai tanah di Singapura (www.offplanproperty exchange. com). Harga tanah dijangka akan melambung atas permintaan yang tinggi terutama dari rakyat Singapura bagi melengkapkan strategi pembangunan bagi melengkapkan kualiti kehidupan yang lebih baik yang tidak dapat disediakan di pulau mereka yang sempit itu.

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) = Wilayah Pembangunan Singapura?

(Part 1)

Saya terpanggil untuk meneroka lebih mendalam tentang Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau Iskandar Development Region (IDR) setelah kerajaan beria-ia sangat untuk melaksanakan dalam masa terdekat ini. Bukan apa, sebagai penduduk yang akan menerima tempias pembangunan WPI, saya rasa perlu untuk mempunyai ilmu dan faham tentang apa yang bakal berlaku kerana kerajaan tidak memberi gambaran yang jelas dan tepat tentang kesannya kepada rakyat terutama penduduk yang tinggal di Johor Bahru dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Dalam surat khabar cuma kata pembangunan ini akan menguntungkan penduduk setempat khususnya orang Melayu. Tapi macamana ia menguntungkan tidak jumpa pulak huraiannya. Atas dasar itu, kajian yang tidak seberapa ini mungkin dapat membuka mata ramai tentang kesan dan akibat WPI kepada penduduk khususnya diri saya.

Saya akan huraikan kajian saya ini dalam bentuk soalan supaya dapat difikirkan bersama dan mudah difahami oleh orang kampung mungkin tanah mereka akan diambil dan terpaksa dipindahkan ke kawasan lain atas dasar memberi laluan kepada pembangunan di negara tercinta.

Apakah Wilayah Pembangunan Iskandar?

Cara termudah untuk dapatkan maklumat tentang WPI ialah melalui website WPI (www.wpi.com. my). Di dalam website ini terdapat brosur tentang WPI yang boleh didownload untuk dibaca.. Cuma masalah disini maklumatnya agak terhad kerana maklumatnya ringkas dan tidak terperinci. Oleh itu saya cuba memahami serba sedikit apa yang diterangkan daripada brosur ini.

Berikut adalah petikan ucapan PM dalam brosur tersebut:

Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) adalah pelan jangka panjang kerajaan saya untuk mengubah lanskap Johor Selatan menjadi kawasan pembangunan yang premier. Apabila siap sepenuhnya pada 2025, WPI yang keluasannya tiga kali saiz Singapura akan menjadi sebuah metropolis yang serba moden, dengan tiga juta penduduk serta menawarkan taraf kehidupan antara yang terbaik di rantau ini. Pada waktu itu, WPI akan memiliki pelbagai produk pelancongan, tapak untuk seni bina yang masyhur, penginapan idaman di pesisir pantai, sektor perkhidmatan, kewangan yang berdaya maju dan sistem pengangkutan bersepadu sepenuhnya.
Perancangan ke arah menjadikan wawasan itu sebagai kenyataan sudah pun bermula. Kerajaan saya juga sudah mengumumkan pelbagai insentif, termasuk potongan cukai bagi beberapa industri perkhidmatan terpilih, selain membenarkan pelabur mendapatkan sumber manusia untuk industri itu dari serata dunia. Kami juga melonggarkan syarat berhubung pemilikan asing dalam sektor terpilih. Untuk merancakkan pelaksanaan wilayah itu, kerajaan juga menubuhkan sebuah badan kawal selia bagi menjadikan urusan perniagaan dan pelaburan di WPI, satu pengalaman yang menyenangkan.
Ada banyak faktor mengapa Iskandar adalah syurga untuk pelaburan. Dari segi geografinya, ia terletak di antara India dan China iaitu dua gergasi baru ekonomi yang menawarkan pasaran yang besar, kos perniagaan yang lebih murah berbanding pesaing di rantau ini, selain sistem perundangannya yang mudah. Iskandar juga dihubungkan dengan dunia luar melalui tiga pelabuhan utamanya, dua lapangan terbang antarabangsa dan rangkaian lebuh raya yang canggih serta mesra pengguna. Sejak pelancarannya akhir 2006, lebih 1,000 pelabur dari Malaysia, Singapura, Timur Tengah, China, India dan Amerika Syarikat sudah meninjau peluang di Iskandar. Malah, ramai daripada mereka menyatakan minat untuk melabur di situ.
Dianugerahkan dengan hutan hujan tertua dunia, paya bakau, pulau-pulau yang indah dan pesisir pantai yang panjang, Iskandar akan menjadi model untuk pembangunan mapan dan mesra alam. Untuk itu, perancangan yang rapi dan berhati-hati telah dilakukan bagi memastikan WPI menjadi kawasan pertumbuhan paling pesat di rantau ini menjelang 2025.

Antara persoalan yang bermain difikiran:

1. Apa itu pembangunan premier?

2. Untuk siapa metropolis yang serba moden, senibina yang masyhur, penginapan idaman di pesisir pantai?

3. Kenapa perlu dilonggarkan syarat pemilikan asing?

4. Syurga pelaburan untuk siapa?

5. Betulker kat JB ni ada hutan hujan tertua di dunia?

Untuk lebih mudah faham dan maklumat lanjut boleh rujuk maklumat yang terdapat di dalam wikipedia.

Kawasan manakah yang bakal terlibat dengan WPI?

Ia adalah kawasan yang terlibat dengan WPI. Sekali imbas dah macam sebahagian pembesaran Singapura. Senang tak payah susah-susah gali pasir. Beli tanah dengan pemimpin-pemimpin Malaysia aje. Murah dan Mudah. Kawasan yang terlibat adalah sampai ke Majlis Perbandaran Kulai

(termasuklah rumah Mawi di Felda Taib Andak. Jangan2rumah Mawi pun kena ambik ….), Pasir Gudang dan Pontian.

Kenapa sumber maklumat di dalam website hanya disediakan dalam bahasa Inggeris?

Yang saya memusykilkan ialah kenapa website www.wpi.com. my, www.idr.com. my, www.irda.com. my, dan www.sjer.com. my menggunakan website yang sama sedangkan semua ini menjalankan fungsi yang berbeza.

Yang keduanya kenapa semua website menerangkan tentang WPI ini dalam bahasa Inggeris sedangkan yang akan membaca dan yang paling ramai terlibat adalah dikalangan orang Melayu. Tidak bolehkah sediakan satu website dalam bahasa Melayu supaya mudah penduduk boleh baca dan faham.

Juga tiada satu badan atau orang perseorangan yang datang ke balai raya atau ke ke kampung-kampung untuk terangkan tentang WPI hingga ke peringkat akar umbi. Apa salahnya menyediakan satu badan bertindak untuk menerima input penduduk setempat di kawasan terlibat. Ajak la orang Kampung Pasir, Kampung Melayu dan yang sewaktu dengannya sebagai wakil setempat.

Adakah penduduk boleh menghalang jika tanah mereka diambil bagi tujuan pembangunan?

Jawapan bagi persoalan di atas ialah rakyat tidak boleh menghalang pengambilan balik tanah bagi kegunaan persekutuan sebagaimana terkandung dalam Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.. Kerajaan Persekutuan boleh mengambil tanah melalui kerajaan negeri kerana urusan tanah dibawah bidang kuasa negeri. Yang akan meluluskan ialah exco negeri yang terdiri dari ADUN atau wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat malaysia yang mengundi dengan diketuai oleh Menteri Besar (di Johor Ghani Othman la).

Penduduk cuma boleh merundingkan jumlah pampasan yang boleh diterima sahaja. Maklumat lanjut sila buka buku akta tanah 1960.

Persoalannya, adilkah tanah datuk nenek kita diambil dan dijual kepada orang Singapura?

Kenapa WPI dikatakan menguntungkan Singapura?

“Wawasan Malaysia untuk selatan Johor adalah cemerlang…”

Chua Lee Hoon, Pengarang Review, 2 Jun 2007, The Straits Times, Singapore

“Dengan adanya Iskandar, kita boleh mengalihkan perniagaan yang tidak akan menguntungkan di Singapura – kerana masalah kekurangan tanah dan pelbagai halangan lain – tapi menguntungkan jika dilakukan di selatan Johor”

Manu Bhashkaran, Felo Kanan Penyelidikan, Partner and Member of the Board, Centennial Group Inc. 5 Mei 2007,

The Straits Times, Singapore,


Ini adalah 2 petikan komen daripada brosur yang didownload dari website yang disebut di atas.

Rasanya dah boleh faham macamana faedah kepada Singapura. Dah tak laku kat tempat dia baru nak buang kat Johor.

Rakyat Singapura bakal untung sebab mereka boleh beli rumah, pejabat atau hotel yang dibina di atas tanah orang Malaysia yang diambil kerana harga yang murah jika dibandingkan dengan harga di Singapura. Cuba kita lihat sama-sama di sini. Harga sebuah rumah flat di Singapura ialah dalam lingkungan SGD200,000 (RM 460,000) hingga SGD 700,000 (RM 1.6 juta) www.hdb.gov. sg

Berapa ramai orang Malaysia boleh beli rumah harga macam tu jika dibuat dikawasan WPI? Bos tempat saya kerja pun belum tentu boleh beli rumah harga macam ni.. Rumah banglo di Johor pun tak sampai RM500 ribu. Rumah teres setingkat kos sederhana (RM100,000 hingga RM 200,000) untuk duduk sendiri di JB pun belum mampu dibeli oleh orang biasa yang duduk di JB, inikan pula harta tanah berharga ratusan ribu ringgit.

Menurut program kerajaan dalam Malaysia My Second Home Programme (www.mm2h.gov. my), penduduk asing boleh beli harta tanah di Malaysia yang berharga lebih RM 250,000 (SGD 109,000-murahnya bagi orang Singapura). Rumah kedai atau ruang pejabat di Malaysia lebih mahal dari harga rumah tetapi jauh lagi murah jika dibandingkan dengan harga di Singapura.

Jika saya orang Singapura amatlah beruntung kerana harta tanah serta barang keperluan boleh dibeli pada harga yang amat murah dan kekal menjadi hakmilik saya dan keturunan saya selama saya tidak menjual tanah tersebut.

Persoalannya ialah apa yang akan berlaku jika separuh kawasan WPI ni dibeli oleh orang Singapura?

Maka WPI ni jadi hakmilik Singapura lah.

Orang Malaysia hanya boleh melawat kawasan-kawasan menarik di tepi Pantai Lido untuk makan steamboat.

Lepas tu balik ke rumah di kawasan kampung nun jauh di Kulai atau Pekan Nenas, Pontian.

Persoalan yang masih perlu diterokai:

Masih terdapat banyak lagi persoalan yang belum terjawab.

Masih boleh difikir-fikirkan bersama wahai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum kerana WPI melibatkan kepentingan semua kaum yang duduk di Johor khususnya. Antaranya:

* Tak cukupkah pembangunan di Johor Bahru sekarang ini?
* Kenapa tidak dibangunkan kawasan belum membangun di tempat lain?
* Mampukah orang Johor bergerak selari dengan pembangunan yang drastik ini?
* Tidak cukupkah dengan kesan kenaikan harga barang akibat ramai orang Singapura membeli belah di Johor Bahru?
* Kenapa tidak dibuat satu jambatan baru yang mudah orang Singapura dan Malaysia menjalankan urusniaga di kedua-dua negara?
* Jika berlaku pengambilan tanah, dimanakah penduduk akan menggantikan tanah tersebut untuk tinggal? Berapa harganya?
* Siapakah pemilik syarikat pemaju dan syarikat-syarikat utama yang terlibat dalam WPI? Boleh rujuk di sini.
* Kenapa pulak Robert Kuok (orang terkaya di Malaysia ) ada dalam Majlis Penasihat WPI?
* Jika WPI akan menjadi lambakan penduduk Singapura apa yang bakal berlaku seterusnya? Harga barang keperluan? Kuasa beli?
* Adakah kita sebagai anti pembangunan jika mempersoalkan WPI?
* Siapakah yang merancang pembangunan WPI? Adakah orang tempatan JB terlibat atau orang yang duduk di KL merancang di atas kertas sahaja?
* Kenapa tiada satu badan berfungsi menyalurkan maklumat dengan jelas kepada kepada rakyat Johor?
* Apa yang bakal berlaku kepada Kampung Melayu, Kampung Pasir, kampung Skudai Kanan,

Kampung Majidee dan kampung-kampung lain yang sewaktu dengannya?
* Mampukah anak generasi kita menghadapi pembangunan yang pesat ini? Apa persediaan kita untuk itu?
* Dimana saluran untuk penduduk dan rakyat memberi idea dan pandangan tentang WPI?
* Jika WPI ini ‘berjaya’, adakah koridor-koridor lain pun akan dibuat benda yang sama?
* Dan banyak lagi persoalan yang bakal muncul…….memerlukan jawapan….di dunia dan akhirat.

Semoga maklumat yang tidak seberapa ini mampu membuka mata pemimpin-pemimpin kita semua.

Jangan hanya menyokong dan meluluskan sahaja semua yang dibentangkan. Guna akal yang waras dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kepentingan rakyat sebab nanti setiap pemimpin akan disoal atas apa yang dipimpimnya selepas mati kelak.

Yang benar,

Orang Johor Lama

* Saya harap tulisan saya ini dapat disebarkan kepada ramai terutama pemimpin-pemimpin kita supaya mereka faham dan sedar apa yang berlaku dan bakal berlaku terutama kepada penduduk di kawasan WPI. Tulisan ini adalah untuk menjaga keharmonian semua kaum yang baru mengorak langkah ke arah kehidupan bersama yang aman sejahtera. Saya terlalu sayang untuk melihat keharmonian antara kaum ini dihancurkan oleh tangan-tangan yang tamak haloba.

“Aku tidak kaya, tetapi aku dan keturunanku tidak mahu mengemis di bumi sendiri.” – Rakyat Malaysia

Blog at WordPress.com.