|
Catatan dari Ankara: Demokrasi icin biz de variz! |
|
Oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin |
|
Isnin, 21 April 2008 |
|
SEHARI sebelum rakyat Malaysia meraikan program Gelita 14 atau lebih popular Black 14, telah berlangsung Kongres Ke 2, Angkatan Muda Parti Keadilan dan Pembangunan Turki atau di dalam bahasa Turki, Adalet ve Kalkinma Partisi [AK Parti] di Ankara, Turki. Kongres kali ini begitu penting kerana ianya merupakan perhimpunan seluruh tenaga muda AKP seluruh Turki setiap tiga tahun sekali dan pada kali ini ianya diadakan di dalam keadaan AKP sedang berhadapan dengan kemelut pengharaman AKP di Mahkamah Perlembagaan. Saya, Fariz Musa dan juga Mohd Yusmadi Mohd Yusoff telah dijemput untuk mewakili Angkatan Muda Keadilan Malaysia bagi menghadiri kongres ini. Kami telah berlepas lebih awal iaitu pada 10 April 2008 dan tiba di Ankara hari yang sama jam 12 tengahari waktu Turki. Setibanya di Ankara, kami telah disambut oleh beberapa pimpinan muda AKP termasuk antaranya Ismail Karaosmanoglu, iaitu Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Organisasi, Angkatan Muda AKP. Cuaca di sana baik cuma suhunya jauh lebih rendah dari Malaysia iaitu 15 ke 18 darjah celcius. Program sepenuhnya bermula pada 11 April 2008 di mana kami telah dibawa untuk sesi perbincangan dengan tiga pemimpin utama AKP iaitu Bulent Gedikli, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan, Yasar Yakis, Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah, Turki dan juga Eyup Cenap Gulpinar, Pemangku Presiden Dewan Parlimen Turki. Ada beberapa kesimpulan dan mungkin juga pelajaran penting yang mampu saya garap sebagai panduan para pejuang keadilan di Malaysia. Strategi utama AKP ialah memberi tumpuan kepada wanita dan juga orang muda. Kepentingan wanita dibuktikan dengan memberikan ruang yang luas iaitu sebanyak 30 % kepada penyertaan wanita secara aktif di dalam parti dan juga kerajaan. Jumlah tersebut adalah signifikan memandangkan ianya menunjukkan komitmen AKP untuk melakukan perubahan khususnya menangani isu-isu yang melibatkan wanita di Turki. Strategi kedua ialah dengan melakukan pemerkasaan generasi muda sama ada di dalam bentuk sokongan dalam bentuk perkongsian pengalaman dan kewangan serta membantu menyediakan pelbagai program termasuk latihan kepimpinan dan juga yang bersifat santai. Strategi ketiga ialah dengan memberikan tumpuan utama kepada kehendak dan keperluan rakyat. Sebagai berkongsi kata-kata Bulent Gedikli, Timbalan Pengerusi AKP, let the people live and the state can live, biarkan rakyat hidup (selesa) dan Negara juga akan berkembang (selesa). Kepedulian pimpinan AKP kepada isu-isu rakyat boleh kita lihat sejak dari awal penubuhan parti ini. Mereka telah mengadakan satu kajian yang komprehensif dengan menemuramah seramai 42,000 rakyat Turki tentang keperluan dan kehendak mereka. 46% daripada rakyat menyatakan bahawa perlunya satu parti baru untuk memberikan harapan baru kepada mereka di dalam menyelesaiakan 2 masalah utama iaitu keperluan mendesak kepada soal pemulihan ekonomi dan juga pembelaan daripada dizalimi. Justeru, lahirlah parti keadilan dan pembangunan. Pada hari kedua kami telah mengadakan perbincangan dengan 2 tokoh AKP iaitu Haluk Ipek, Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Organisasi AKP dan juga Ketua Angkatan Muda AKP iaitu Hakan Tutuncu. Perbincangan pada hari kedua menjurus kepada strategi untuk memantapkan parti. Haluk misalnya telah menerangkan bahawa AKP telah berjaya mewujudkan 81 bahagian dan 480 cawangan AKP di seluruh Turki dengan keahlian sebanyak 3 juta ahli. Ini pada saya merupakan satu usaha yang menuntut kepada iltizam dan semangat yang gigih. Parti yang hanya ditubuhkan pada 2001 dan di dalam masa selama 7 tahun, kekuatan mereka sudah mencapai pada tahap yang terbaik. Ini merupakan cabaran kepada Parti Keadilan Rakyat yang jauh lebih lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1999 akan tetapi belum lagi mencapai kekuatan yang dimiliki oleh AKP. Tetapi tidak apa, perhebatkan lagi usaha, insya Allah dalam masa 2 tahun mendatang ini, keADILan akan mencapai kejayaan seperti AKP. Hakan memberikan penerangan ringkas tentang isu-isu yang melibatkan generasi muda Turki dan juga bagaimana Angkatan Muda AKP berperanan sebagai penggerak utama kepada jentera parti secara keseluruhan. Apabila ditanya tentang sokongan pimpinan parti di peringkat pusat kepada Angkatan Muda AKP, beliau secara spontan mengungkapkan bahawa pimpinan pusat mempunyai 2 pilihan sama ada angkatan muda yang kuat atau lemah ! Hari ketiga ialah hari di mana Kongres Kedua Angkatan Muda AKP diadakan. Kongres tersebut diadakan di sebuah stadium tertutup dengan kehadiran seramai 5000 orang. Untuk makluman, mereka hanya mengadakan kongres yang besar pada setiap 3 tahun sekali dan bukannya seperti kita pada setiap tahun. Ini mungkin merupakan perkara baru yang boleh dikaji dan dikembangkan oleh AMK. Saya agak terkejut kerana pada saya kongres tersebut diadakan di dalam suasana yang muda dan ceria iaitu penggabungan konsep santai serta serius. Sementara menunggu kehadiran Recep Tayyip Erdogan, Pengerusi AKP dan juga Perdana Menteri Turki, para pemuda dan pemudi yang hadir diberi suntikan semangat dengan lagu-lagu motivasi dan ceria termasuk yang saya dengar beberapa lagu hindustan (dari filem Sivaji The Boss) dan juga lagu-lagu dari filem Gladiator. Saya berbisik pada Fariz, kongres AMK akan datang nanti kita cuba gunakan konsep sebegini, mungkin ada magnetnya pada generasi muda. Kami bertiga terpegun apabila melihat Erdogan secara langsung dan setelah mendengar ucapan beliau yang berani, lantang dan bersemangat. Terima-kasih kepada penterjemah yang membantu memahamkan saya ucapan pemimpin idola rakyat Turki ini. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa beliau tidak gentar dengan cubaan untuk mengharamkan AKP selagi mana rakyat Turki dan generasi muda Turki dibelakang saya disahut dengan tepukan dan sorakan hadirin yang hadir. Saya nyatakan pada Yusmadi sosok Erdogan dari segi perwatakan, ucapan dan peribadi saling tak tumpah seperti Dato Seri Anwar Ibrahim. Yusmadi menambah, sosok Hakan, ketua pemuda AKP apa kurangnya, saling tak tumpah seperti saya. Saya hanya mampu tersenyum dan teringat perbincangan saya semalam dengan Hakan supaya dapat diadakan di dalam waktu terdekat program kerja dan latihan yang serius di antara Angkatan Muda Keadilan dan Angkatan Muda AKP, insya Allah. Kemuncak daripada lawatan kerja ini pastilah apabila saya, Fariz dan Yusmadi berpeluang untuk bertemu dengan The Man, iaitu Erdogan. Saya bersyukur walaupun dengan kawalan keselamatan yang ketat, masih dapat bertemu dan berbual dengan beliau melalui jurubahasa. Saya menyampaikan senaskhah buku, The Asian Renaissance di samping menyampaikan salam Ketua Umum dan juga menerangkan serba sedikit tentang tarikh keramat iaitu 14 April 2008. Beliau tersenyum dan meminta saya menyampaikan salam perjuangan beliau kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.
Penulis merupakan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat. Foto-foto dan catatan ini ditulis untuk tatapan pembaca KLpos.com. Bagi pihak pembaca, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Shamsul Iskandar – Pengarang |



