Malay Independent Press

April 19, 2008

Tahniah Atas 2 Tokoh PAS Jadi Ahli Majlis Perbandaran PP & SP

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:58 am

Tahniah Atas 2 Tokoh PAS Jadi Ahli Majlis Perbandaran PP & SP
Posted on Friday, April 18 @ 08:01:09 MYT by SongkokPutih
Oleh ibnuhasyim

BY ASYOK KUMAR

UKAY PERDANA 17 April – Group Universiti Ulu Klang menyokong penuh perlantikan dua orang pimpinan PAS Negeri Pulau Pinang yang diberi kepercayaan menganggotai Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Hal ini berikutan dari Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Alam Sekitar, Chow Kon Yeow telah mengisytiharkan senarai nama mereka kepada media sebagai Ahli Majlis MPPP dan MPSP di Bilik Gerakan Pejabat Ketua Menteri di Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Demikian kenyataan yang dibuat oleh Presidennya Dr Mohd Hasyim semasa di temuramah di pejabatnya di sini semalam. Mereka ialah Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Abdul Halim Saleh diamanahkan menganggotai MPPP manakala Setiausaha PAS Negeri, Fazhil Kemi MPSP.

“Inilah hasil dari kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat, kita harap ianya akan terus berlanjutan.” Kata beliau yang juga pernah memimpin PAS Negeri Pulau Pinang, dan menjadi Ketua Kawasan Balik Pulau suatu ketika dulu. Beliau juga turut kirim salam kepada Ustaz Saleh Man Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang dan teman-teman seperjuangan lain, termasuk ahli majlis yang baru dilantik itu. “

Anwar Ibrahim, Guru Asia

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:52 am

Anwar Ibrahim, Guru Asia

Cetak

E-mail

Oleh HAMID BASYAIB

Jumaat, 18 April 2008

ANWAR Ibrahim layak dijadikan guru oleh banyak ahli politik Asia. Ilham yang disajikannya melampaui apa yang ditunjukkan Deng Xiaoping, Kim Dae-jung, atau Benazir Bhutto.

Ia bukan hanya contoh terbaik tentang jatuh-bangun politik yang ekstrem dihadapi dengan penuh martabat. Tapi ia juga menunjukkan bahwa politik merupakan paduan tepat antara cita-cita kenegaraan yang berjangkauan jauh dan luas, landasan intelektual yang kokoh, dan pragmatisme yang diabdikan demi cita-cita itu.

Dengan gemilang ia menunjukkan bahwa amal politik haruslah dimulai dengan mengatasi rasa benci. Karir politiknya ditapaki dengan tahapan yang mantap, dan kemudian meteorik. Dalam usia 20-an ia menjadi tokoh mahasiswa paling menonjol, pada umur 30-an ia bintang politik Malaysia paling bersinar di generasinya.

Dalam usia 40-an, sarjana sastra dengan bakat beragam ini menjadi ‘putera mahkota’, wakil dari seorang perdana menteri yang amat kuat, merangkap menteri keuangan di sebuah negara yang ekonominya sedang tumbuh pesat.

Tiba-tiba ia dinistakan dengan bengis; ditahan dan dianiaya oleh kepala polisi negara sampai tulang punggungnya cidera berat dan harus dirawat di Jerman. Ia dihancurkan dengan dakwaan paling destruktif secara politik (korupsi) dan paling nista secara sosial dalam konteks budaya Malaysia (melakukan sodomi terhadap sejumlah lelaki).

Martabatnya diruntuhkan justeru oleh orang yang melambungkan namanya dan mentor politiknya, yang kala itu tak terlawan – bahkan oleh seluruh kekuatan politik di Malaysia maupun segala tekanan internasional.

Bintang Asia yang dipandang Barat dengan paduan kagum dan cemas, penggagas ‘Asian renaissance’ dan juru bicara Islam non-Arab yang fasih dan mampu bicara dengan pelbagai idiom kultural itu terkapar di lantai penjara yang dingin.

Baru enam tahun kemudian Anwar Ibrahim bangkit dari ‘makam politik’-nya. Ia keluar dengan raga lemah dan jiwa yang makin kuat. Hari-hari panjang di penjara ia lalui dengan tekun membaca politik Malaysia, sambil empat kali menamatkan sejumlah karya Shakespeare dan puluhan karya klasik lainnya.

“Kalau tak mandi atau makan,” katanya kepada Time yang pekan lalu memajang fotonya di sampul, “saya hanya membaca – dari pukul 8 pagi sampai tengah malam.”

Kemenangan gemilang oposisi dalam Pemilu Malaysia bulan lalu pasti juga berkat peran Anwar dan partai baru pimpinan isterinya sejak ia masuk penjara. Berbagai ketakpuasan sosial memang meluap dan menyebabkan kegagalan koalisi Barisan Nasional yang perkasa selama hampir setengah abad itu.

Tapi ketekunan dan kecerdikan Anwar-lah yang menerjemahkan ketakpuasan itu menjadi jembatan yang menghubungkan jurang-jurang perbedaan di antara partai dan kelompok-kelompok oposisi.

Ia bak pesulap yang sanggup menyatukan partai-partai yang secara tradisional tak terjembatani, terutama antara DAP yang didominasi warga Cina-Malaysia dan PAS yang memprogramkan syariat Islam (hudud). Hasilnya: BN gagal meraih mayoritas 2/3, dan untuk pertama kalinya perolehan tulang-punggung BN, UMNO, kalah dari gabungan oposisi (79 berbanding 82 kursi parlemen).

Mungkin Anwar akan mengambil alih salah satu kursi yang diraih isteri dan anaknya, Wan Azizah Ismail dan Nurul Izzah, setelah masa pencekalan politiknya berakhir bulan ini. Ia akan menjadi suara yang memahami makna dan fungsi oposisi, seraya menerapkannya dengan cerdas dan berwibawa.

Ia bangga dengan Indonesia. Ketika menjadi pembicara di Doha tiga tahun lalu, Anwar panjang-lebar memaparkan Indonesia sebagai contoh kesesuaian Islam dan demokrasi. Pada jamuan makan malam, saya menyalaminya dan berterimakasih, karena ia mengangkat Indonesia di forum yang dihadiri oleh begitu banyak tokoh dunia Islam dan Amerika.

“Tentu saja saya harus ungkapkan sukses negeri Anda,” katanya. “Pengalaman Indonesia sangat mengesankan. Kami perlu mencontohnya,” katanya.

Dengan Anwar Ibrahim di puncak kursi oposisi, ada harapan hubungan Indonesia-Malaysia mencapai titik rukun yang semestinya. Kita selalu dapat mengandalkan Anwar – seorang peminat sastra Indonesia yang bergairah, seorang politisi jiran yang disayangi oleh semua spektrum politik Indonesia.

Penulis adalah Direktur Program Freedom Institute Indonesia. Rencana ini diterbitkan sebuah akhbar di negara tersebut. Terima kasih kepada saudara Khalid Jaafar yang mengirimkan rencana ini kepada KLpos.com- Pengarang

Eksklusif: Parti-parti lawan diperalatkan lagi ‘demi kepentingan Melayu’?

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:21 am

Eksklusif: Parti-parti lawan diperalatkan lagi ‘demi kepentingan Melayu’?

Cetak

E-mail

Oleh Rustam A. Sani

Jumaat, 18 April 2008

SEWAKTU membaca berita tentang inisiatif untuk mengadakan perbincangan di kalangan “parti-parti Melayu” bagi membincangkan isu-isu perpaduan dan kepentingan Melayu baru-baru ini, entah kerana apa saya sedikitpun tidak merasa terperanjat.

Malah saya memang telah menjangkakan hal yang demikian akan berlaku, memandangkan bahawa telah menjadi suatu pola perlakuan politik di negara ini kini untuk Umno akan mengambil inisiatif (malah berusaha keras) untuk memujuk parti-parti dominan Melayu lainnya supaya bekerjasama bagi “menyelamatkan bangsa Melayu.”

Jelaslah, Umno biasanya akan memperalatkan isu “kepentingan Melayu” apabila parti itu menghadapi kemerosotan sokongan – dan untuk itu parti itu atau tokoh-tokoh tertentu parti itu akan sanggup merayu parti-parti lain yang dalam keadaan biasa akan dikutuk, dihina dan dicercanya.

Yang mengambil inisiatif melakukan risikan (overtures) demikian kali ini adalah Norza Zakaria, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno. Dan jika laporan dalam NST boleh dipercayai, beliau tampaknya telah berjaya memancing reaksi yang agak positif dari dua tokoh PAS dan PKR.

Khabarnya, mereka bertiga akan mulai mengadakan perbincangan secara tidak rasmi minggu ini juga.

Saya tidaklah begitu mengenali Norza Zakaria. Sepanjang pengetahuan saya, beliau sejak lama telah memainkan peranan sebagai “pengiring” (atau sidekick) Khairy Jamaluddin.

Dalam kemelut perebutan jawatan yang kini sedang bergelora dalam Pergerakan Pemuda Umno, Norza telah memperlihatkan minatnya untuk menawarkan diri menjadi calon Ketua – sehingga dia baru-baru ini telah menyebarkan bahan kempen dan puisi (ciptaannya?) kepada bahagian-bahagian parti itu.

Tindak tanduk Norza dalam memperalatkan parti-parti lawan dan gagasan “kepentingan” Melayu ini amat mengingatkan saya akan tindak tanduk Dr Mahathir sekitar tahun 1999-2000 – ketika Umno mengalami pukulan teruk dalam PRU-10 dan Dr Mahathir berusaha memulihkan sokongan terhadap dirinya di kalangan orang Melayu.

Malah puncak kejayaan Dr Mahathir menjebak kerjasama pimpinan PAS – lewat suatu perhimpunan bersama tentang Palestin di Dewan Bahasa dan Pustaka – mempunyai dimensi politik antarabangsa dan hubungan dengan kuasa besar (yakni pertemuan Dr Mahathir dengan Bush yang telah diatur melalui perantara dengan sogokan berjumlah berjuta dolar).

Pada waktu itu, kerana yang kuat hanyalah PAS sedangkan kekuatan PKR dipandang remeh oleh Dr Mahathir, maka hanya PAS yang telah menjadi sasaran overture Umno. Para pemimpin PKR yang menghadiri perhimpunan di DBP itu malah telah diletakkan di suatu pojok yang hampir tidak dipedulikan Dr Mahathir.

Tetapi kini, kerana PKR ternyata lebih kuat berbanding dulu, maka inisiatif Norza itu telah melibatkan PKR pula – malah melibatkan seorang tokoh besarnya, Naib Presiden Azmin Ali.

Risikan Mahathir pada tahun 1999-2000 itu sebenarnya bukanlah risikan terakhir. Telah bertiup kabar-kabar angin bahawa overtures yang sama terhadap PAS telah berlaku sebelum berlangsungnya PRU-12 baru-baru ini.

Malah selepas PRU-12 berakhir, dikatakan memang ada percubaan oleh beberapa pemimpin Umno yang penasaran untuk memikat, menggoda, malah menjebak PAS untuk menyertai Umno dalam membentuk kerajaan campuran di beberapa negeri – dan kononnya pula memang ada tokoh PAS yang dikatakan sudah hampir tergoda.

Oleh kerana pengalaman PAS yang lebih banyak dari segi “digoda” Umno ini, maka memang terdapat beberapa pemimpin PAS yang sering dianggap umum sebagai lebih cenderung untuk tergoda. Dikatakan juga bahawa mungkin sikap Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, yang tegas lagi konsisten dalam hal ini yang telah “menyelamatkan” PAS daripada terjerumus.

Berdasarkan hakikat ini, maka saya tidaklah terperanjat jika di kalangan para pemimpin PAS terdapat beberapa tokoh yang akan menjadi sasaran overtures para pemimpin Umno yang ingin memperalatkan isu kepentingan Melayu itu. Saya juga tidak akan terperanjat jika tokoh-tokoh tersebut akan senantiasa memberikan tindakbalas yang positif terhadap risikan dan bujukan Umno itu.

Namun demikian, sebagai “dara” yang pertama kali coba digoda – sedangkan selama ini dicerca dan dihina – respons yang sama positifnya dari kalangan pemimpin PKR terhadap godaan Umno ini bagi saya amatlah memeranjatkan – malah amat mengecewakan.

Bagi saya, isu yang perlu difahami oleh para pemimpin PKR bukanlah sekadar persoalan menghadiri sebuah mesyuarat bagi membincangkan suatu persoalan yang tidak dianggapnya berbahaya, seperti isu kesepaduan Melayu dan kepentingan Melayu itu.

Sedangkan mesyuarat itu sendiri, samalah seperti persidangan tajaan Abim di DBP pada zaman Mahathir itu, menurut hemat saya secara sedar sudah dijadikan cara untuk memperalatkan parti-parti lawan dan isu Melayu demi kepentingan dan survival Umno sendiri.

Bagi PKR, dalam kerangka “politik baru” dan gagasan Agenda Ekonomi Malaysia, konsep kepentingan Melayu dalam konteks gagasan masyarakat dan negara adil pelbagai kaum mestilah berlainan – dan kerana itu sukar dijambatani – dengan gagasan kepentingan Melayu yang bersifat perkauman yang diwarisi dan diteruskan Umno dari perspektif masyarakat majmuk ciptaan sejarah kolonial itu.

Jika gagasan kepentingan Melayu Umno yang telah dituangkannya ke dalam acuan dan kerangka pemikiran dan amalan DEB yang tidak adil itu sebenarnya dapat dijambatani dengan pemikiran baru yang sedang digubal dan dibentuk dalam PKR, maka apakah perlunya pemimpin besar PKR, Anwar Ibrahim, bermati-matian berusaha melahirkan gagasan Pakatan Rakyat yang menjanjikan suatu kelainan asasi daripada Umno dan BN?

Dengan membiarkan dirinya terjebak dalam overtures yang kononnya sekadar tertumpu kepada usaha mengadakan sebuah mesyuarat informal itu, PKR – dan malah PAS juga – sebenarnya telah membiarkan dirinya terjebak untuk menerima acuan pemikiran Umno yang dangkal lagi ketinggalan zaman dalam memperkatakan dan memahami isu-isu keadilan sosial dan pembinaan negarabangsa.

Sejak dulu lagi, saya sebenarnya selalu merasa hairan dan kaget mendapati sesetengah para pemimpin parti pembangkang di negara ini yang menjadi begitu excited setiap kali mereka didatangi maupun dihubungi oleh pihak-pihak tertentu dalam Umno untuk membincangkan isu-isu seperti “kepentingan Melayu” ini.

Excitement itu sekurang-kurangnya dapat saya fahami dalam keadaan Umno/BN amat kuat sedangkan kita sendiri lemah dan tertindas. Tetapi dalam keadaan seperti sekarang – ketika kita mendapat sokongan rakyat banyak dan Umno sedang kucar kacir, maka apakah penjelasannya? Mungkinkah kedangkalan dan kecetekan cendekia kita sendiri?

Rustam A Sani merupakan penganalisis politik terkenal tanahair. Rencana ini ditulis untuk tatapan pembaca KLpos.com. Bagi pihak pembaca, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada saudara Rustam A Sani.- Pengarang

MB Perak akan bergelar Datuk Seri

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:20 am

MB Perak akan bergelar Datuk Seri
Posted on Friday, April 18 @ 20:05:55 MYT by greenboc
Oleh pemudawilayah


IPOH 18 April – Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar pada 17 Mac lalu akan dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Keputeraan ke-80 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah esok.

Turut menerima darjah kebesaran ialah Pengerusi DAP Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Ngeh Ko Ham yang menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP). Darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk. – Utusan

*dah lama dah tak tengok individu dari “Pembangkang” menerima penghargaan sebegini.semoga penghargaan “dunia” tidak melalaikan mereka.

MB Perak akan bergelar Datuk Seri

Filed under: Uncategorized — Editor @ 1:27 am

MB Perak akan bergelar Datuk Seri
Posted on Friday, April 18 @ 20:05:55 MYT by greenboc
Oleh pemudawilayah


IPOH 18 April – Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar pada 17 Mac lalu akan dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Keputeraan ke-80 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah esok.

Turut menerima darjah kebesaran ialah Pengerusi DAP Perak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Ngeh Ko Ham yang menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP). Darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk. – Utusan

*dah lama dah tak tengok individu dari “Pembangkang” menerima penghargaan sebegini.semoga penghargaan “dunia” tidak melalaikan mereka.

Next Page »

Blog at WordPress.com.