Malay Independent Press

April 14, 2008

Selangor pergiat dakwah, wujud surau di pasar malam, tani

Filed under: Political Issues — Editor @ 12:38 am

Selangor pergiat dakwah, wujud surau di pasar malam, tani

Saidah Hairan
Fri | Apr 11, 08 | 12:40:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 April (Hrkh) – Anggota exco Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali bercadang mewujudkan suasana keagamaan di seluruh negeri termasuk di tempat tumpuan ramai seperti pasar malam dan tani.

Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah bersetuju mengadakan musollah (surau) di setiap pasar malam dan pasar tani.

Katanya, dengan adanya musollah tersebut memudahkan para peniaga dan pembeli menunaikan solat secara berjemaah. “Kita akan membuat tempat mengambil wuduk yang banyak. Kita mahu melihat suasana keagamaan terus berlaku di pasar, mencakupi semua peringkat umur anggota masyarakat,” jelas dalam satu pertemuan dengan Harakahdaily.

Beliau yang juga Adun Gombak Setia dan Pesuruhjaya PAS Selangor mahu menjadikan kegiatan di Kota Bharu (Kelantan) dan Rusila (Terengganu) yang mengadakan kuliah agama setiap Jumaat bermula jam 9 hingga 10 pagi, sebagai contoh.

“Insya-Allah saya akan mulakan di Masjid Negeri. Orang yang memakai jeans, skirt boleh datang mendengar. Biar kita tarik mereka dengan cara begitu, begitu juga dengan orang yang berjoging di tepi tasik,” katanya.

AJK Dewan Ulama negeri, Ustaz Ansori Mursid berkata, cadangan tersebut ada kesan positif negatif dan ia perlu dilaksanakan dengan adanya pemantauan daripada pihak penguatkuasaan.

Menurut beliau jika solat itu dilakukan secara berjemaah, perlu ada penguatkuasaan untuk memantau kawasan pasar.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepang turut mencadangkan supaya Dato’ Hasan mengenakan peraturan kepada wanita supaya berpakaian sopan dan menutup aurat ketika berada di kawasan pasar.

Timbalan Ketua Muslimat Selangor, Noraini Husin berkata cadangan itu usaha baik kerana tujuan awal PAS adalah untuk berdakwah selain berpolitik.

Apabila Pakatan Rakyat sudah menang katanya, PAS perlu menggunakan institusi agama seperti Jais untuk menyampaikan dakwah kepada rakyat Selangor.

Menurut beliau, dengan cara itu ia boleh membuang dinding pemisah antara masyarakat dengan PAS.

“Rakyat Selangor sudah mengenali Hasan Ali dan sekarang ini beliau menjadi exco, secara tidak langsung beliau telah membawa imej PAS,” katanya.

Beliau berkata, selama ini ramai di kalangan pembeli berkunjung ke pasar pada waktu maghrib dan kemungkinan mereka tidak sempat menunaikan solat kerana rumah dan masjid jauh.

Justeru tambahnya dengan ada surau di kawasan pasar akan memudahkan penjual dan pembeli menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian.

Bagaimanapun, Noraini berpendapat, peniaga di Selangor tidak boleh disamakan dengan pekedai di Tanah Suci yang boleh meninggalkan jualan untuk menunaikan solat.

“Penguatkuasaan perlu diwujudkan iaitu di kalangan ahli JKKK selain mengawal keselamatan barangan, mereka juga boleh memastikan pembeli dan peniaga berhenti untuk solat,” tegasnya. – lanh

“Cukuplah enam tahun mereka dizalimi…”

Filed under: Political Issues — Editor @ 12:37 am

“Cukuplah enam tahun mereka dizalimi…”

Anis Nazri
Fri | Apr 11, 08 | 2:17:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 April (Hrkh) – Penahanan lanjutan tanpa alasan kukuh dan munasabah seharusnya dihentikan kerana mangsa dan keluarga tahanan ISA sudah terlalu lama menderita setelah mangsa ditahan lebih enam tahun.

Sehingga hari ini, berdasarkan statistik terkini GMI yang diperolehi daripada sumber keluarga tahanan, seramai 10 tahanan akan cukup tempoh enam tahun penahanan mereka, termasuk lima tahanan yang telah dilanjutkan penahanan mereka untuk dua tahun berikutnya, menjadikan lapan tahun.

“10 tahanan yang dinamakan ‘Jemaah Islamiyyah’ (JI) adalah tahanan ISA yang paling lama ditahan di bawah ISA di abad ke 21 ini. Sepanjang tempoh ditahan, tiada satu pun bukti yang dapat dikemukakan pihak Kemta. Mengapa tempoh ini perlu dilanjutkan?” soal Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, dalam sidang media, di Dewan Perhimpunan Cina, hari ini.

Justeru, GMI telah merancang satu kempen khas untuk mereka yang ditahan selama enam tahun ini yang bertemakan “Cukuplah enam tahun mereka dizalimi’ dengan harapan rakyat turut bangkit memberi sokongan.

Menurut Pengarah Program kempen ini, Norlaila Osman, kempen ini telah bermula sejak Februari 2008 dan akan berlanjutan hingga Jun 2008.

“Walaupun pada dasarnya kempen ini diadakan khas untuk mereka yang telah ditahan selama enam tahun, namun GMI sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa semua tahanan ISA hendaklah dibicarakan atau dibebaskan,” tegas beliau, yang juga merupakan seorang isteri tahanan ISA, Mohd Sah Satray, yang kini masuk tahun ke enam ditahan.

Antara kempen yang dijalankan GMI ialah ‘Letter Signing Marathon/ Petition On-Line’yang bermula April ini, kempen poskad (Mei), mogok lapar dan ‘vigil’ (Jun).

Kempen ‘Letter Signing Marathon’ dan ‘Petition On-Line’ ini boleh dicapai melalui laman web Suaram, www.suaram.net (bahagian ‘events’) dan petitiononline.com/noisa/petition.html.

“Jika rakyat telah menunjukkan keberanian menolak kerajaan BN dengan menafikan dua pertiga dalam parlimen, maka bangkitlah dan tunjukkan keberanian sekali lagi dengan mendesak kerajaan membebaskan tahanan enam tahun serta semua tahanan yang ditahan di bawah ISA yang zalim,” tegas Norlaila.

Sementara itu, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, menyerahkan sumbangan cek bernilai RM3000 kepada GMI, hasil sumbangan daripada pembaca Harakah yang prihatin dengan kesengsaraan keluarga mangsa ISA, khususnya isteri dan anak-anak.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban perasaan dan kewangan yang ditanggung isteri dan anak-anak mangsa ISA. Saya juga merakamkan terima kasih kepada penderma yang bermurah hati menyumbang untuk tujuan ini.

“Harakah akan berusaha menimbulkan kesedaran awam, bukan saja untuk terus menentang kezaliman ISA dan berkempen membebaskan semua mangsa di Kamunting, tetapi juga mengutip bantuan kewangan untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang amat memerlukan,” ujar Lutfi.

Lutfi juga berkata, sehingga kini Harakahdaily telah menerima sumbangan daripada orang ramai kira-kira RM5000, bagaimanapun sumbangan tersebut akan diserahkan kepada GMI secara berperingkat.

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336. – mns

Enggan minta maaf, kerajaan angkuh – Nasharudin

Filed under: Political Issues — Editor @ 12:36 am

Enggan minta maaf, kerajaan angkuh – Nasharudin

Roy Rasul
Fri | Apr 11, 08 | 3:06:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 April (Hrkh) – Keengganan kerajaan untuk memohon maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dipecat pada 1988 lalu merupakan satu sikap yang angkuh kata, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Katanya, sepatutnya kerajaan memohon maaf kepada Tun Salleh di atas kesalahan ataupun kesilapan mereka yang lalu.

Tambahan pula katanya, sepanjang tempoh pemecatannya, Tun Salleh Abas menjadi mangsa kezaliman.

“Dalam kes ini jelas berlaku kontradiksi antara kenyataan menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zaid Ibrahim) yang mencadangkan kerajaan meminta maaf bertentangan dengan Perdana Menteri. “Nampaknya tidak wujud satu kesefahaman di antara menteri dengan Perdana Menteri dalam kabinet Pak Lah yang semakin bercelaru,” katanya kepada Harakahdaily.

Di Putrajaya semalam, Dato’ Seri Abdullah dipetik berkata, kerajaan tidak perlu memohon maaf kepada Tun Salleh,

Beliau berkata ini kerana, kerajaan akan memulihkan kedudukan Tun Salleh dengan cara lain.

“Saya tidak lihat kenapa kita perlu memohon maaf tetapi biarlah kita putuskan selepas kertas kabinet dibentangkan,” Abdullah dipetik.

Dalam pada itu, Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri itu sangat dikesali.

Katanya, sepatutnya kerajaan mengkaji semula cadangan Zaid walaupun kerajaan ada caranya untuk memulih kedudukan bekas Ketua Hakim Negara itu.

“Apapun bagi kita Tun Salleh telah dizalimi dan beliau perlu dibela dan dikembalikan haknya dan kalau kesalahan itu dilakukan mereka kenapa pula malu hendak meminta maaf kepadanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nasaruddin berkata, kesihatan Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Haji Awang yang diserang penyakit ‘mild stroke’ semalam, dalam keadaan stabil.

Bahkan katanya, semasa menziarahi beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terangganu, Terengganu bersama-sama pimpinan tertinggi PAS lain, antaranya, Dato’ Husam Musa, Salahuddin Ayub dan Dr Syed Azman Nawawi petang semalam Ustaz Hadi boleh bercakap, makan dan sebagainya.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu banyak berehat dan keadaannya sentiasa dalam pemerhatian doktor.

“Tiada benda yang serius cuma diminta rakyat berdoa semoga beliau cepat sembuh,” katanya.

Presiden PAS dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi semalam selepas diserang angin ahmar yang tidak serius.

Beliau yang berusia 61 tahun sebelum itu mengadu kebas bahagian muka ketika bangun pada pukul 5.30 pagi semalam untuk bersahur. – mns

Sayang… PAS dan PKR tidak menang di Melaka – Betty Chew

Filed under: Political Issues — Editor @ 12:33 am

Sayang… PAS dan PKR tidak menang di Melaka – Betty Chew

Ahmad Tajdid
Fri | Apr 11, 08 | 3:38:13 pm MYT

MELAKA, 11 April (Hrkh) - Betty Chew bukan nama kecil dalam arena politik Melaka. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Laksamana itu memikul tanggung jawab sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, penggal lalu.

Tapi bagi penggal ini, anak penarik beca dari Durian Daun, Melaka itu menolak apabila dicalonkan kerana kesibukan tugasnya sebagai wakil rakyat, isteri kepada Ketua Menteri dan ibu kepada lima anak yang sedang membesar.

Walaupun bertubuh kecil dan menjadi ibu kepada lima anak berumur 8 hingga 15 tahun, isteri Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ini tidak kekok untuk menjuarai isu-isu rakyat di negeri Hang Tuah itu.

Kerjaya politiknya bermula pada 1999 setelah beliau terpilih sebagai Adun Durian Daun, Melaka.

“Sayanglah, PAS dan PKR (KeADILan) tak menang (di Melaka) pilihan raya lalu,” katanya ketika memulakan bual bicara dengan Harakah di pejabat guamannya di Melaka Raya.

“Awak kena balik Melaka lah, kita sama-sama kerja lawan BN,” katanya berseloroh setelah diberitahu penulis berasal dari Melaka.

Perbualan kami sering diganggu dengan nada dering telefon bimbitnya. Ada yang merungut kerana gagal menghubungi Guan Eng yang kini menerajui pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.

“Dia sentiasa sibuk dengan program sekarang. Awak kena hubungi dia melalui setiausahanya. Nanti saya berikan nombor hubungan beliau,” katanya dalam bahasa Inggeris kepada pemanggil itu.

Betty mengakui banyak perubahan yang berlaku pada keluarganya selepas pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Berkahwin dengan Lim Guan Eng pada 1989, beliau tidak menyangka bertemu jodoh dengan lelaki dari ‘keluarga politik’. Guan Eng pada waktu itu Ahli Parlimen Kota Melaka manakala bapa mentuanya Lim Kit Siang ialah Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.

“Bagaimana puan menguruskan hal ini. Puan Adun di Kota Laksamana, Melaka sedangkan Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang, bila puan dan Guan Eng berjumpa?” soal Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Betty terdiam sambil menguntum senyum…

“Kami sedang berusaha untuk memikirkan cara terbaik… saya sendiri tak sangka begini… saya tak jangka (DAP) boleh menang banyak,” katanya jujur.

“Semasa pilihan raya dulu Guan Eng di mana?” soal Lutfi.

“Dia di Penang,” jawab Betty.

“Puan di mana?” soal Lutfi lagi.

“Saya di Melaka,” ujarnya sambil ketawa.

Menurut Betty, Guan Eng menghubunginya beberapa kali semasa penjumlahan undi untuk bertanyakan keadaan di Melaka.

Betty mengakui tidak tentu arah dan ‘takut’ apabila diberitahu DAP menang semua kerusi yang ditandingi di Pulau Pinang.

“Kita hanya yakin menang di Bagan tetapi tidak di seluruh (kerusi yang ditandingi DAP) Pulau Pinang. Peluang menang 50-50,” jelasnya.

Ikuti wawancara penuh dengan Betty Chew dalam Harakah cetak keluaran akan datang.

Umno Kedah hentam Abdullah

Filed under: Political Issues — Editor @ 12:32 am

Umno Kedah hentam Abdullah

Apr 10, 08 8:05pm

kemaskini 9:42pm Tekanan terhadap perdana menteri semakin meningkat – dengan pemimpin-pemimpin Umno Kedah pula mengkritik kepemimpinan beliau hari ini.

Dalam satu pertemuan tertutup 15 bahagian dengan timbalannya Datuk Seri Najib Razak, mereka menyalahkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas ketewasan teruk parti itu, termasuk kehilangan Kedah kepada Pakatan Rakyat, dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Difahamkan, ada beberapa pemimpin mendorong Najib mengambil langkah mencabar Abdullah dalam pemilihan Umno pada 16-20 Disember.

Menurut sumber-sumber Umno negeri, mesyuarat antara dua hingga tiga jam di sebuah kelab di Sungai Petani menyaksikan perdebatan panas, termasuk nada menyalahkan presiden Umno itu, sehingga memaksa Najib mententeramkan keadaan.

“Pemimpin-pemimpin bahagian itu menyatakan (mantan perdana menteri Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun tidak menyebabkan BN dan Umno kalah seteruk itu.

“Mereka juga mengkritik Abdullah kerana enggan mendengar laporan dari pihak bawah (rasa tidak puas hati orang ramai) tetapi meneruskan juga rancangannya sendiri,” kata sumber itu.

Turut hadir dalam mesyuarat yang bermula 11 pagi tadi, dua naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketua Wanita Datuk Seri Rafidah Aziz, setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, ketua Puteri Datuk Noraini Ahmad dan ketua Putera Datuk Abdul Azeez Abd Rahim.

Pemimpin di peringkat negeri yang turut serta termasuklah bekas menteri besar Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas menteri penerangan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, adiknya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan ketua bahagian Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharum.

Beberapa ketua bahagian yang dihubungi Malaysiakini malam ini enggan mengulas butiran mesyuarat itu dengan alasan ia diadakan secara tertutup.

Hanya Abdul Azeez menyatakan perkara sedemikian – mendorong Najib mencabar Abdullah – tidak pernah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.

Malaysiakini difahamkan, sekumpulan ahli akar umbi Umno menaikkan kain rentang sebelum pertemuan itu yang menggesa Najib mengambil alih kepemimpinan Umno.

Setiap bahagian menghantar sembilan pemimpin, termasuk ketua dan jawatankuasanya, ke mesyuarat tersebut.

Menurut sumber-sumber itu lagi, pertemuan untuk penilaian punca kekalahan Umno negeri bertukar menjadi pentas mengecam cara Abdullah memilih calon-calon BN.

Kira-kira separuh calon BN negeri dalam pilihanraya ke-12 terdiri calon muka baru atau tidak terlibat di peringkat bahagian – mereka digelar “calon paracut”.

Muka baru itu termasuklah setiausaha-setiausaha Abdullah sendiri, Datuk Othman Desa (parlimen Sik) dan Datuk Hasbullah L. Isa (Jeneri), Datuk Mukhriz Mahathir (parlimen Jerlun) dan Datuk Azimi Daim (Bandar Baharu) – semuanya tewas kecuali anak Dr Mahathir, tokoh yang masih berpengaruh besar di Kedah.

Oleh kerana ramai yang mahu “meluahkan perasaan” di majlis itu, kata sumber lagi, Najib menyarankan mereka menulis laporan kepada jawatankuasa pengurusan Umno yang diketuainya.

Agensi berita Bernama melaporkan, kaedah pemilihan calon yang tidak mendapat restu di pemimpin-pemimpin bahagian didapati satu daripada punca-punca penyebab BN kalah teruk.

Najib, menurut laporan itu lagi, berkata kebanyakan ketua bahagian dan ahli jawatankuasa mereka kecewa apabila calon-calon yang disenaraikan dari Putrajaya tidak dirujuk kepada mereka.

Next Page »

Blog at WordPress.com.