Tubuh Suruhanjaya Perlantikan Hakim
Posted on Thursday, April 10 @ 08:37:23 MYT by greenbocOleh almarbawi
“
Seperti yang diketahui umum, imej badan kehakiman di negara kita ini telah lama tercemar dengan isu campurtangan kuasa eksekutif sejak terpecatnya Tun Salleh Abas, seorang Ketua Hakim yang amat disegani. Walaupun ada desakan supaya badan kehakiman ini dipulihkan, tetapi ia tidak diendahkan oleh kerajaan.
Tetapi apabila seorang Raja sudah bertitah supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman untuk memulihkan imej badan ini, apakah pihak kerajaan akan terus tidak memperdulikan desakan yang datang sendiri dari institusi istana? Dan ini disokong pula oleh Ketua Hakim Negara, Datul Abdul HAmid Mohamad.
Sesungguhnya kita amat bertuah mempunyai seorang Raja yang amat prihatin dalam hal perjalanan undang undang di Malaysia
Daulat Tuanku…!! -Almarbawi
Petikan Berita:
PUTRAJAYA 9 April – Pelantikan dan kenaikan pangkat dalam bidang kehakiman perlu dikaji semula termasuk memperkenalkan mekanisme yang lebih telus, titah Pemangku Sultan Perak Raja Dr. Nazrin Shah.
Baginda turut menyokong cadangan penubuhan Suruhajaya Kehakiman untuk membuat perakuan kepada Perdana Menteri, yang perlu berbincang dengan Persidangan Raja-Raja bagi membangkitkan semula imej badan kehakiman.
Titah baginda, pendedahan demi pendedahan yang berlaku melibatkan badan kehakiman semakin merosakkan imej institusi itu, yang satu ketika dahulu dikagumi sehinggakan keputusan yang dibuat oleh hakim terdahulu diiktiraf oleh negara-negara Komanwel.
Menurut Raja Nazrin, senario yang berlaku kebelakangan ini termasuk keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 telah membuka ruang kepada perubahan dalam membuat dasar, penggubalan undang-undang dan pelaksanaan pentadbiran.
Sehubungan itu, baginda menyifatkan sekarang adalah masa sesuai supaya perhatian serius diberikan terhadap mekanisme pelantikan hakim yang lebih telus selaras dengan pendekatan yang diamalkan oleh negara-negara membangun.
“Hanya hakim-hakim yang mempunyai tahap intelektual dan integriti yang tinggi serta menumpahkan jiwa raganya memelihara kesucian undang-undang tanpa rasa takut dan berkepentingan layak diberi pertimbangan kenaikan pangkat.
“(Justeru) Pembentukan Suruhanjaya Pelantikan Hakim merupakan cadangan yang baik kerana ia akan mengesyorkan calon hakim kepada Perdana Menteri yang kemudiannya mendapat nasihat Majlis Raja-Raja,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah demikian pada perasmian Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia 2008 di sini hari ini yang disempurnakan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad.
Baginda seterusnya bertitah, sekarang juga dilihat masa yang sesuai supaya Mahkamah Persekutuan lebih terbuka menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang lain jika keputusan tersebut menjurus kepada ketidakadilan.
Menurut baginda, tidak dinafikan terdapat beberapa keputusan mahkamah yang menjadi tumpuan masyarakat dan memberi kesan langsung kepada aktiviti perniagaan dan profesion perundangan secara keseluruhan.
Raja Nazrin turut bertitah, pembaharuan lain yang perlu dilaksanakan adalah menambah pengetahuan hakim-hakim terhadap undang-undang baru yang berkaitan Internet, maritim dan timbang tara selain undang-undang tradisional melibatkan hak asasi manusia.
Baginda juga berpendapat kerajaan boleh mencontohi Dubai melalui penubuhan mahkamah komersial yang membariskan panel hakim terlatih seperti Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai yang beroperasi sejak 2004.
Titah Raja Nazrin, mahkamah tersebut melantik hakim-hakim berpengalaman antaranya bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob yang mencipta sejarah sebagai hakim wanita pertama di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Siti Norma merupakan salah seorang daripada enam hakim baru di negara Teluk itu.
Suruhanjaya lantik hakim wajar
PUTRAJAYA 9 April – Suruhanjaya Pelantikan Hakim wajar diwujudkan jika ia mampu mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap ketelusan badan kehakiman yang dikatakan tercalar ekoran pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988.
Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad berkata, tidak ada salahnya kerajaan membuat keputusan sedemikian jika suruhanjaya itu diyakini dapat membantu mengenal pasti calon hakim yang layak dinaikkan pangkat sekali gus menepis tuduhan campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim.
Tegasnya, anggota-anggota panel suruhanjaya itu perlu dilantik dari kalangan mereka yang benar-benar berwibawa, berpengetahuan tinggi, tidak rasuah, adil serta tidak berkepentingan.
Katanya, keanggotaan panel suruhanjaya itu pula sepatutnya juga bukan terdiri daripada mereka yang berniat melobi jawatan dalam badan kehakiman.
“Saya juga menyambut baik cadangan permohonan maaf kepada Salleh dan juga dua bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut dipecat hampir 20 tahun lalu jika ia satu tindakan yang perlu dilakukan oleh kerajaan.
“Ia (Suruhanjaya Pelantikan Hakim dan pernyataan maaf kepada Salleh) merupakan keputusan kerajaan, jika kerajaan percaya ia perlu dilakukan, kenapa tidak,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia 2008 di sini hari ini.