Malay Independent Press

April 9, 2008

Al-Marhum Ustaz Fadhil Doa Mahathir Dipanjang Umur

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:59 pm

Al-Marhum Ustaz Fadhil Doa Mahathir Dipanjang Umur
Posted on Wednesday, April 09 @ 16:00:31 MYT by SongkokPutih
Oleh Ibrahim Baba

Dalam perjalanan untuk hadir ke satu majlis pada tahun 2000, Al-Marhum Ustaz Fadhil Nor pernah berkata kepada kami dalam kereta yang dipandu IB sendiri ketika itu, bahawa beliau mendoakan agar Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat kemusnahan yang telah dilakukannya sendiri.

Apakah kini doa Al-Marhum mantan Presiden PAS itu dimakbulkan satu demi satu?

Kemusnahan institusi kehakiman, kerosakan akhlak remaja [dan orang-orang tua pun!], kebejatan sosial, rasuah berleluasa, asas ekonomi yang mula goyah … sebahagian besarnya ini adalah hasil tangan Mahathir sendiri. Kebanyakan rungutan yang Mahathir luah kini adalah berpangkal dari Mahathir sendiri. Pak Lah mungkin sebagai perlengkap sahaja.

Saban hari, satu demi satu isu dan pelbagai pembongkaran dihebahkan di dada akhbar dan lain-lain media untuk dihukumkan oleh masyarakat. Kini Mahathir seolah-olah sedang dibicarakan oleh rakyat umum. Walaupun Mahathir tetap menjawab namun suara-suara yang dulu pernah dikunci beliau sudah tidak lagi menikus dengannya. Tidak mungkin mampu Mahathir membela dirinya untuk segala tuduhan dan isu yang dilodehkan oleh mereka yang pernah berada di sekeliling beliau ketika berkuasa selama lebih 22 tahun.

Mereka yang dulu mendiam diri kini bangkit berani bersuara.

Senarai “pendakwa raya” “perbicaraan rakyat” Mahathir panjang dan kini bertambah setiap hari [tidak mungkin IB boleh lengkapkan senarai yang kian bertambah itu]. Pak Lah yang sebelum ini hanya sekadar menepis pelbagai tuduhan Mahathir kini telah kian lantang membongkar pula pelbagai dakwaan terhadap Mahathir.

Walaupun ada yang menyebelahi Mahathir dalam krisis kini untuk menjadi “peguam bela” namun ramai dari “peguam bela” ini sendiri turut terbabit dalam pelbagai kes yang dibongkar itu. Dan mereka ini adalah sebenarnya antara barisan “saksi” utama dalam “perbicaraan rakyat” ini.

Dalam membela dirinya, Mahathir turut, tanpa disedarinya sendiri, membongkarkan pelbagai perkara yang sebelum ini rakyat umum tidak tahu. Betul atau tidak kata-kata Mahathir itu dalam keadaan beliau tersempit – banyak yang kita boleh persoalkan. Sememangnya persaksian orang-orang seperti Mahathir ditolak dalam Al-Qur’an.

Apabila seseorang berbohong dia akan berbohong lagi untuk menutup pembohongan lamanya [when you compound a lie, you compounded the consequences]. Dan dia akan terus dengan pembohongan demi pembohongan.

Sekian, IB

…..
http://ibrahimbaba.wordpress.com/2008/04/09/al-marhum-ustaz-fadhil-doa-mahathir-dipanjang-umur/

UMNO sudah mulakan kerja-kerja syaitan

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:47 pm

UMNO sudah mulakan kerja-kerja syaitan
Posted on Wednesday, April 09 @ 01:53:17 MYT by greenboc
Oleh bktpinang


Saya tertarik dengan satu kenyataan yang dibuat oleh Mat Taib mengenai tawaran kepada ketua-ketua kampung yang dipaksa meletakan jawatan oleh UMNO Pusat. Jelaslah di sini Kerajaan BN terutama UMNO tidak menghormati keputusan rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat untuk memerintah 5 negeri dalam PRU12 yang lalu. Kelantan telah lama dilakukan kerja-kerja pecah dan perintah ini, tetapi tidak berjaya, malah UMNO Kelantan hanyut ditelan Laut China Selatan.

Sekarang di negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pula, kerja syaitan ini diimplimentasikan dengan tujuan memecahbelahkan masyarakat terutamanya orang-orang Melayu Islam di kampung-kampung.
Yang paling jelas kerja syaitan ini ialah seperti yang dipetik di bawah ini

“Kementerian akan membayar semua elaun mereka dan semua projek persekutuan akan disalurkan terus kepada JPPP masing-masing tanpa melalui kerajaan negeri,”

UMNO akan menggunakan JPPP ini untuk kepentingan politik UMNO, bukan untuk rakyat, kerana rakyat di negeri-negeri tersebut telah menolak BN dan UMNO tetapi memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk membela nasib mereka. UMNO mesti ingat! Wang yang digunakan untuk membayar elaun JPPP itu adalah wang rakyat, bukan wang dari tabung UMNO. Ini satu khianat yang besar terhadap rakyat Malaysia.

Saya berharap Wakil-wakil Parlimen Pakatan Rakyat akan mengutuk habis-habisan kerja syaitan UMNO ini dan mendesak UMNO memberi balik hak dan peruntukan yang sepatutnya kerajaan negeri-negeri itu dapat untuk membangunkan negeri-negeri mereka.

Ingatlah, PEMIMPIN YANG KHIANAT AKAN DILAKNAT OLEH ALLAH S.W.T.

Bacalah laporan seterusnya:

08 April, 2008 21:56 PM
Ketua Kampung Letak Jawatan Diserap Semula Di Bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar

SERI ISKANDAR, 8 April (Bernama) — Semua ketua kampung yang meletak jawatan di empat negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat akan diserapkan semula di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Menterinya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata empat negeri yang diperintah kerajaan Pakatan Rakyat yang dimaksudkan itu ialah Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah yang mempunyai kira-kira 2,000 ketua kampung.

Beliau berkata nama untuk jawatankuasa itu belum diputuskan lagi namun berkemungkinan menggunakan cadangan yang dibuat Persatuan Ketua-ketua Kampung Perak hari ini iaitu Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Persekutuan (JPPP) bagi menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kementerian akan membayar semua elaun mereka dan semua projek persekutuan akan disalurkan terus kepada JPPP masing-masing tanpa melalui kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 817 ketua kampung di Perak di Institut Latihan Kemas di sini hari ini.

Muhammad berkata sebagai permulaan, 817 ketua kampung dan 11,438 anggota JKKK di Perak yang meletak jawatan berkuatkuasa 1 Mei ini akan berurusan terus dengan kementerian itu tanpa melalui kerajaan negeri.

Beliau berkata perincian mengenai penubuhan JPPP yang mempunyai bidang tugas yang sama di kampung bagi menggantikan JKKK, akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat untuk dibincangkan seterusnya diluluskan.

Katanya elaun RM400 juga akan dibayar terus kepada mereka dan kementerian sedia mengkaji untuk menambah jumlah elaun sedia ada kerana ketua kampung yang meletak jawatan tidak lagi akan menerima elaun antara RM50 dan RM200 yang dibayar oleh kerajaan negeri.

– BERNAMA

Pakatan Rakyat tuntut kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Filed under: Political Issues — Editor @ 11:32 pm

Pakatan Rakyat tuntut kerusi Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Cetak

E-mail

Oleh Bernama

Rabu, 09 April 2008

KL: Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sedang berusaha meyakinkan kerajaan supaya membenarkan sekurang-kurangnya satu daripada dua jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat diisi oleh seorang anggota yang dipilih daripada pembangkang.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata langkah ini perlu bagi menggambarkan keadaan sebenar dalam Parlimen selepas pilihan raya umum baru-baru ini apabila parti pembangkang memenangi 82 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) iaitu 140 kerusi.

Dalam pilihan raya itu, BN buat kali pertama, gagal memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Kami akan meyakinkan kerajaan dalam usaha untuk berlaku adil kepada semua parti. Sekurang-kurangnya satu jawatan Timbalan Yang Dipertua diwakili oleh pembangkang. Ini akan memberikan gambaran yang lebih adil,” katanya hari ini.

Timbalan Yang Dipertua perlu dipilih daripada anggota Dewan Rakyat dan jawatan itu sebelum ini disandang oleh anggota yang dipilih daripada BN selaku parti yang memerintah – Datuk Lim Si Cheng daripada MCA (BN-Kulai) dan Datuk Dr Yusof Yacob daripada Umno (BN-Sipitang).

Lim dan Dr Yusof tidak bertanding dalam pilihan raya umum, baru-baru ini

Blog at WordPress.com.