Malay Independent Press

April 8, 2008

Siapakah ahli UMNO yang akan dipecat Abdullah?

Filed under: Political Issues — Editor @ 8:32 pm

Siapakah ahli UMNO yang akan dipecat Abdullah?
Posted on Tuesday, April 08 @ 08:00:15 MYT by greenboc
Oleh bktpinang

“Dalam taklimat kepada ketua penerangan UMNO bahagian di seluruh negara (tidak termasuk Sarawak – kerana UMNO belum dapat menembusi Sarawak) hari Ahad lepas, Abdullah begitu kesal kerana laporan dari calon-calon UMNO yang tewas dalam PRU12 yang lalu, teradapa ahli-ahli UMNO yang mensabotaj sehingga UMNO/BN kalah di 14 Kawasan Parlimen dan 22 Kawasan DUN di mana dari cula mereka (biasanya dibuat oleh SB) kawasan-kawasan itu dikategori KAWASAN PUTIH kononnya. Abdullah juga membayangkan tindakan yang akan diambil iaitu memecat keahlian UMNO mereka yang dikatakan mensabotaj itu.

Hari ini pula Najib menyambut saranan Abdullah itu kerana rasa terhutang budi terhadap pengakuan Abdullah yang Najib akan menjadi penggantinya. Najib tersenyum dan gembira betul bila Abdullah sebut dalam sidang akhbar petang semalam. Abdullah yang dibantu oleh menantunya Khairi mungkin sudah siap sedia senarai besar mereka yang akan dipecat nanti.

Siapakah yang sudah termasuk dalam senarai Abdullah itu?

Secara logiknya jika Abdullah mahu pecat mereka yang sabotaj itu, kemungkinan nama-nama tersebut ialah:

1. Tengku Razaleigh Hamzah

- Oleh kerana Razaleigh beria-ria menawarkan diri untuk mencabar Abdullah bagi jawatan Presiden UMNO, sudah semestinya dia akan dipecat dahulu. Ini akan mengurangkan risiko Abdullah dengan harapan jika tiada Razaleigh, tidak akan ada lagi ahli yang berani mencabar jawatan Presiden, dan dengan mudahnya Abdullah akan menang tanpa bertanding. Walaupun Abdullah tahu Razaleigh tidak mempunyai sokongan yang besar dari kalangan perwakilan UMNO, tetapi Abdullah juga khuatir badi PRU12 akan berulang jika ada pertandingan jawatan Presiden kelak.


2. Datuk Mukhriz Mahathir.

- Mukhriz adalah di antara ahli muda yang lantang mendesak Abdullah berundur, dengan kata lain meletakkan jawatan Presiden UMNO dan sekaligus berundur dari jawatan Perdana Menteri. Dengan memecat Mukhriz, Abdullah memberi laluan mudah kepada menantunya untuk dicalonkan jawatan Ketua Pemuda kerana Mukhriz dilihat mempunyai sokongan yang besar dari kalangan pemuda-pemuda UMNO di seluruh negara.


3. Datuk Seri Mohd Khir Toyo

- Khir adalah musuh menantu kesayangan Abdullah, Khairi. Dengan adanya Khir, Khairi tidak akan dapat menjawat sebarang jawatan dalam Pemuda, hatta mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Pemuda kerana sudah Mukhriz dan Khir sudah ada calon mereka untuk mencabar jawatan Timbalan Ketua Pemuda. Ini sangat merisaukan Khairi. Dengan memecat Mukhriz dan Khir, halangan sudah dibersihkan dan mudahlah Khairi menjawat jawatan tertinggi Pemuda UMNO.


4. Tun Dr Mahathir Mohamad

- Sepatutnya Abdullah sudah memecat Mahathir beberapa tahun lepas bila Mahathir menuduh menantu Abdullah, Khairi mengawal dan memberi arahan kepada menteri-menteri kabinet yang lain apa patut dan yang tidak patut dibuat. Mahathir menggambarkan Khairi begitu berkuasa sekali di JPM, sehingga banyak keputusan yang dibuat Abdullah menguntungkan Khairi dan kroni-kroninya. Sekiranya Mahathir dipecat, ahli-ahli UMNO yang cuba mendekati Mahathir akan dianggap pembelot. Dengan cara itu senanglah Abdullah mengenalpasti musuh-musuhnya dalam UMNO.

Dan orang seterusnya…, siapa pula?

Saya serahkan kepada pembaca untuk mencarinya.”

Kisah Blogger Sang Kelembai korner baring

Filed under: Political Issues — Editor @ 8:30 pm

Kisah Blogger Sang Kelembai korner baring

Cetak

E-mail


Oleh AgendaDaily

Selasa, 08 April 2008

ZAHARIN Mohd Yasin asalnya adalah satu nama kecil dalam arina politik tanahair.Dulunya bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak,Kuala Lumpur ini lebih dikenali dalam lingkungan orang UMNO sahaja kerana perwatakannya yang vokal dan jenis ‘ lepas cakap’.

Kisah Zaharin tiba-tiba menarik perhatian satu negara bila dia menjadi blogger pertama dipecat dari UMNO.

Sewaktu bersua di lapangan terbang saya terus memohon maaf kepada Pak Lah dan beliau tidak berkata apa-apa tetapi wajahnya nampak sebak,” kata Zaharin

Malah boleh dikatakan perhatian orangramai di negara ini pada kewujudan laman-laman blog terus menjadi-jadi setelah isu pemecatannya menjadi berita besar.

Ini gara-gara Zaharin menerusi laman blognya yang popular ‘ Sang Kelambai’ dan terus aktif hingga ke hari ini telah berterusan membelasah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam setiap tulisan.

Kebetulan pemecatannya pada 26 September 2006 oleh Lembaga Disiplin UMNO telah diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC.

Tindakan itu tidak menutup mulutnya sebaliknya laman blognya semakin ganas menghentam Abdullah.

Selain laman blognya, Zaharin meneruskan tindak tanduknya menerusi sebuah laman web tv bebas dimana dia menjadi pengulas politik undangan dari masa ke semasa.

Dia juga menghentam Abdullah dalam beberapa ceramah politik yang disertainya.

Semasa kempen pilihanraya umum baru-baru ini dia adalah penceramah utama yang kerap turun padang di Rembau khusus untuk membelasah menantu Perdana Menteri,Khairy Jamaluddin yang bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu.

Tiba-tiba pagi Isnin satu kejutan berlaku.

Lokasinya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semasa ramai orang politik berhimpun di situ menyambut ketibaan Abdullah untuk mengadakan pertemuan dengan para pemimpin UMNO dan BN Sabah.

Antara kelibat yang kelihatan di situ tidak lain tidak bukan ialah Zaharin sendiri.

Siapa yang tidak hairan melihatnya di situ.

Dia terus mencuri perhatian apabila meluru menyapa Abdullah tidak lama lepas Perdana Menteri turun dari pesawat pada jam 10.30 pagi dan bersalaman dengan para pemimpin UMNO dan BN yang menyambutnya di situ.

Sewaktu bersemuka dengan Abdullah dia kelihatan bersalaman dan bercakap sesuatu.

Selepas pertemuan Abdullah dengan para pemimpin UMNO di Hotel Sutera Habour kira-kira jam 3 petang,sekali lagi Zaharin bersua dengan Abdullah.

Kali ini mereka berpelukan.

Apa dah jadi ?


Misi saya terhadap Pak Lah dah selesai.Mungkin peranan saya tidak besar tetapi sebagai blogger sentiasa menghentam beliau dan melakarkan banyak kata-kata yang menjadi ikutan orang


“Sewaktu bersua di lapangan terbang saya terus memohon maaf kepada Pak Lah dan beliau tidak berkata apa-apa tetapi wajahnya nampak sebak,”kata Zaharin kepada Agendadaily.

Manakala di Hotel Sutera Habour semasa berbual sejenak Zaharin memberitahu Perdana Menteri mulai sekarang dia akan berusaha membantu mengukuhkan balik UMNO.

Katanya Abdullah menerima permohonan maafnya dan mereka sama-sama sekata nak buka ‘ buku baru’.

Anihnya kenapa Zaharin tiba-tiba berubah ?

Apapun dia segera menjelaskan kedatangannya ke Kota Kinabalu bukan diatur oleh sesiapa atau perubahan pendirian kerana ‘dibeli’ dan sebagainya.

Katanya tujuan asal dia datang ke Kota Kinabalu adalah untuk menyiasat sendiri kebenaran cerita dan dakwaan mengatakan ada kalangan ahli parlimen BN nak melompat ke pembangkang.

Menurutnya dia pergi ke lapangan terbang semasa ketibaan Perdana Menteri untuk ‘ lihat-lihat’ saja.

Namun katanya dia merasa tersentuh bila tiada dikalangan para pemimpin UMNO dan BN di situ yang memandang serong,mengata atau menyindirnya.

“Lagipun misi saya terhadap Pak Lah dah selesai.Mungkin peranan saya tidak besar tetapi sebagai blogger sentiasa menghentam beliau dan melakarkan banyak kata-kata yang menjadi ikutan orang…saya rasa saya turut sama menyumbang pada tsunami politik yang melanda UMNO dalam pilihanraya umum baru ini,”katanya.

Menurut Zaharin sebenarnya dia sudah terasa nak ubah pendirian bila Abdullah membuat pengakuan beliau memikul tanggongjawab atas prestasi teruk BN dan kekalahan di empat negeri lagi dua hari lalu.

“Bagi saya satu pengakuan bertanggongjawab itu penting bagi seseorang pemimpin,”katanya.

Katanya beliau tidak mahu lagi melihat UMNO terus terumbang ambing dan kalangan ahlinya dan pemimpinnya bercakaran sesama sendiri mencari salah siapa dan sebagainya.

“Walaupun kini saya bukan ahli UMNO setelah dipecat dari parti tetapi jiwa dan roh saya masih lagi UMNO…Selama 35 tahun saya jadi ahli parti jadi saya mahu lihat parti saya stabil balik dan Pak Lah diberi peluang membetulkan balik keadaan.

“Ibaratnya UMNO macam sebuah kapal yang bocor ditengah lautan.Maka semua orang dalam kapal itu harus sama-sama bantu membantu membawanya balik ke pelabuhan.Mana ada orang buang nakhoda kapal di tengah laut ketika ia sedang dilambung lautan bergelora,”katanya.

Menurut Zaharin beliau tidak setuju dengan tindak tanduk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah terus menerus membelasah Abdullah.

“Yang sudah tu sudahlah…Dalam keadaan sekarang mereka sepatutnya tampil sama-sama membetulkan keadaan dari dalam dan bukannya tumpu perhatian nak singkir Perdana Menteri,”katanya.

“Tun dan Ku Li adalah pemimpin besar.Saya tidak akan kata apa-apa pada mereka.Saya akui dulu saya selalu bersama mereka.Sebaliknya sekarang saya sendiri akan berusaha untuk menarik mereka yang sokong tindak tanduk Tun dan Ku Li agar kembali membantu Pak Lah mengukuhkan balik UMNO,”katanya.

Menurut Zaharin sekalipun UMNO ada sedikit sebanyak kekurangan tetapi ia satu-satunya wadah yang paling selamat bagi orang Melayu berpayung.

Baginya PKR-PAS-DAP adalah satu pakatan pembangkang yang tidak menentu nasib masa depannya.

“Sekarang ada Datuk Seri Anwar nampak macam OK …soalnya kalau sesuatu terjadi padanya atau lepas beliau tidak ada nanti apakah lepas itu PAS boleh berkerjasama dengan DAP.Semua orang tahu bagaimana rapuhnya hubungan kedua parti.Sebaliknya UMNO dan BN sudah teruji selama ini.

“Tengoklah nanti…saya menduga lepas ini sokongan orang Melayu akan kembali kepada UMNO seperti dulu.Oleh itu dari sekarang para pemimpin UMNO harus fokus pada usaha memantapkan balik parti.

Zaharin memberitahu dia akan memohon untuk masuk balik UMNO.

“Jika tak diterima balik sekalipun saya akan tetap membantu UMNO dari luar,”katanya.

Bagaimana tentang laman blog Sang Kelambai? Apakah ia akan kiritikal macam dulu?

“Saya tidaklah hentam Pak Lah macam dulu-dulu tetapi tetap menegur apa yang saya nampak hal-hal tidak betul dalam parti dan kerajaan,”katanya.

“Henti tuduh-menuduh sesama Umno” Hishammuddin

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:57 pm

“Henti tuduh-menuduh sesama Umno” Hishammuddin

Cetak

E-mail

Oleh Bernama

Selasa, 08 April 2008

KL: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini meminta semua anggota Umno dan Barisan Nasional (BN) menghentikan perbuatan tuduh menuduh sesama sendiri bagi mengelak keadaan menjadi lebih meruncing dan kusut.

Katanya, semua pihak sebaliknya wajar bermuhasabah diri, bersikap lebih matang, jujur dan berani dalam menghadapi kejutan selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

“Musuh kita di luar sana bertepuk tangan menyaksikan gelagat kita, menikam sesama sendiri.Sekiranya kita masih terbelenggu dengan masalah dalaman parti, menuding jari sesama kita dan mengamalkan sindrom penafian, sampai bila-bila pun parti kita tidak dapat dipulihkan dan parti akan terus terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan media yang difakskan kepada Bernama dari Paris.

Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran kini berada di ibukota Perancis itu untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).

Beliau berkata tumpuan utama sekarang ialah untuk mencari jalan terbaik memperbaiki krisis keyakinan dan mendengar suara rakyat serta anggota parti, selain mengembalikan kekuatan Umno dan BN.

“Oleh itu, pemimpin BN dan khususnya Umno, wajar membimbing seluruh ahli yang masih kecewa, keliru dan lemah semangat terus bersama-sama memperkuatkan parti dan meletakkannya pada landasan sebenar,” katanya.

MP Pakatan Rakyat gesa DBKL batalkan segera projek

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:55 pm

MP Pakatan Rakyat gesa DBKL batalkan segera projek

Cetak

E-mail

Oleh Bernama

Selasa, 08 April 2008

KL: Sepuluh anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP hari ini menggesa supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan projek pembinaan bangunan komersil di Bukit Persekutuan di sini.

Mereka yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat dengan diketuai Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim membuat gesaan itu ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur hari ini.

Mereka meminta supaya Datuk Bandar Datuk Ab. Hakim Borhan menggunakan kuasa yang ada padanya untuk membatalkan hasrat syarikat Primamuda Holdings Sdn Bhd untuk membina bangunan itu, demi kepentingan awam.

Dalam pertemuan tiga jam itu, anggota-anggota parlimen itu juga memohon supaya DBKL menyediakan Pejabat Sekretariat Wakil Rakyat di bangunan DBKL dan menyediakan kemudahan pejabat di semua Pusat Khidmat Masyarakat Anggota Parlimen Kuala Lumpur.

Selain itu, mereka meminta DBKL melantik semua Anggota Parlimen Kuala Lumpur sebagai Anggota Lembaga Penasihat DBKL, bagi membolehkan suara rakyat diwakili dalam pembentukan dasar serta penilaian pelaksanaan dasar DBKL.

Sementara itu, Ab. Hakim berkata semua permintaan anggota parlimen itu akan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Kita telah memberi penjelasan panjang lebar mengenai perkara ini dan kita mencadangkan supaya ia dibawa sekali semasa kita mendengar bantahan awam daripada orang ramai mengenainya,” katanya.

Hindraf bermotif politik” Menteri Dalam Negeri

Filed under: Political Issues — Editor @ 7:49 pm

“Hindraf bermotif politik” Menteri Dalam Negeri

Cetak

E-mail

Oleh Bernama

Isnin, 07 April 2008

PUTRAJAYA: Keengganan penyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf) menyerahkan satu memorandum kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri mendesak lima orang pemimpin pertubuhan itu yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan, menunjukkan kes ini bermotif politik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata sekumpulan 50 orang penyokong Hindraf ke kementerian itu pagi tadi untuk menyerahkan memorandum itu kepada pegawainya kerana beliau sibuk.

“Oleh kerana mereka tidak dapat menyerahkannya kepada saya, mereka enggan memberikan memorandum itu kepada pegawai saya. Saya terlalu sibuk kenapa mereka tidak menyerahkannya kepada pegawai saya. Ini menunjukkan bahawa mereka ada motif politik.

“Kumpulan itu terdiri daripada dua anggota Parlimen. Mereka mengeluarkan satu ugutan dengan mengatakan bahawa jika saya tidak terima memorandum itu, mereka akan menganjurkan satu lagi reli di Kuala Lumpur. Tolong jangan ancam kebajikan negara kerana ia akan menyebabkan kerajaan tidak ada pilihan lagi selain melindungi negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Perintis bagi Latihan Kesedaran mengenai Respon Keadilan Jenayah terhadap Pengedaran Manusia untuk Hakim dan Pendakwa Raya Asean.

Kursus itu dianjurkan bersama kementerian tersebut dan Projek Pengedaran Manusia Rantau Asia yang beribu pejabat di Bangkok, Thailand.

Beberapa minggu lepas, beberapa pertubuhan termasuk MIC, telah membuat gesaan supaya pemimpin Hindraf yang ditahan itu dibebaskan.

Pada 13 Dis tahun lepas, lima pemimpin itu yang ditahan, M. Manoharan, P. Uthayakumar, V. Ganabatirau, R. Kenghadharan dan K. Vasanthakumar kerana menganjurkan reli besar-besaran di Kuala Lumpur dan meminta beberap tuntutan bagi kepentingan kaum India di negara ini.

“Saya tidak boleh ulas mengenai isu ini kerana kes ini kes mahkamah berikutan kelima-lima pemimpin itu telah memfailkan permohonan habeas corpus meminta mereka dibebaskan. Peguam mereka telah menyampaikan kes mereka dan segala-galanya dibuat mengikut undang-undang. Jadi macam mana saya boleh komen, apabila perkara ini belum lagi diputuskan,” kata Syed Hamid.

Ditanya jika kerajaan, terutamanya polis, akan bertindak menghalang reli yang dirancang itu, Syed Hamid berkata ancaman tersebut menyebabkan pihak berkuasa dalam keadaan dilema.

Jika kita ambil tindakan terhadap penganjur seperti reli, kita dituduh menyalahgunakan hak mereka untuk mengadakan perhimpunan aman tetapi reli itu juga melanggari hak rakyat Malaysia lain yang mahukan ketenteraman awam…jadi apa yang kita boleh buat,” tambah beliau.

Syed Hamid berkata pihak berkuasa mahu menjaga ketenteraman awam dan melakukan apa saja bagi memastikan keselamatan awam dijaga sepanjang masa.

Next Page »

Blog at WordPress.com.